Anda di sini

Debbie mengganas di Australia

 Angin kencang dan hujan lebat membadai Pantai Airlie selatan bandar utara Townsville, semalam. — Gambar Reuters
MENGGERUNKAN: Angin kencang dan hujan lebat membadai Pantai Airlie selatan bandar utara Townsville, semalam. — Gambar Reuters

SYDNEY: Ribut kencang, hujan lebat dan laut bergelora membadai bahagian timur laut Australia semalam, merosakkan rumah, memusnahkan jeti dan memutus bekalan elektrik kepada ribuan penduduk apabila Siklon Tropika Debbie melanda utara jauh negeri Queensland.

Tiupan ribut lebih kuat daripada 260 km sejam direkodkan di pusat pelancongan sepanjang Terumbu Karang Besar yang terkenal ketika taufan yang kuat itu, pada kategori empat hanya satu anak tangga sahaja di bawah tahap kelajuan ribut paling bahaya, muka tiba di daratan.

Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini tetapi taufan bergerak ke bahagian barat daya dengan begitu perlahan sehinggakan peramal keadaan cuaca berkata keadaan siklon mungkin akan berlaku selama 24 jam.

“Ia sangat bising, ribut yang ‘menjerit’ dan ‘melolong’, bunyinya seperti kereta api barang,” kata Jan Clifford kepada Reuters menerusi teks pesanan ringkas dari Pantai Airlie, kira-kira 950 km ke barat laut ibu negeri, Brisbane.

Pihak berkuasa menggesa ribuan penduduk di kawasan rendah untuk lari dari rumah mereka kelmarin, dalam evakuasi yang dijangka terbesar pernah dilihat di Australia sejak Siklon Tracy memusnahkan bandar raya utara Darwin pada Hari Krismas 1974.

Siklon Debbie tiba di daratan di Pantai Airlie sejurus selepas tengah hari waktu tempatan, dan memutuskan perkhidmatan telefon.

Hujan lebat membanjiri jalan raya dan ribut memecah tingkap, menumbangkan pokok dan melontar puing di jalan raya, manakala jeti di marina Pantai Airlie musnah, gambar yang disiarkan menerusi televisyen Nine Network menunjukkan.

Tenaga elektrik terputus bagi 38,000 orang dalam sebuah kawasan yang luas di antara bandar-bandar Bowen dan Mackay, ke utara dan selatan Pantai Airlie, kata syarikat utiliti Ergon Energy.

Pelabuhan di Abbot Point, Mackay dan Hay Point ditutup, lapangan terbang Townsville ditutup dan syarikat-syarikat penerbangan Qantas, Jetstar, Rex dan Virgin Australia membatalkan beberapa penerbangan berulang-alik dari wilayah tersebut.

Siklon itu terdahulu merentasi kepulauan Whitsunday di bahagian timur, di mana pusat pelancongan musnah dan bot terlepas daripada tambatan, kata tetamu.

Gambar televisyen menunjukkan laut bergelora telah memusnahkan pantai-pantai yang sebelum ini indah.

Siklon Debbie merupakan taufan paling kuat pernah melanda Queensland sejak Siklon Yasi memusnahkan rumah dan tanaman selain menghancurkan pusat peranginan pulau pada 2011.

“Pusat taufan sendiri mungkin seluas 50km,” kata peramal kanan, Adam Blazak.

Air pasang dijangka membanjiri kawasan rendah berhampiran Mackay apabila taufan meniup ombak dan arus dan menaikkan paras laut.

Pihak berkuasa berkata keadaan terlalu berbahaya untuk keluar dan menilai kerosakan. Kru tindakan kecemasan juga tidak keluar sehingga taufan reda.

“Ia akan memakan masa yang lama, sehingga ke petang ini dan malam sebelum ribut ini mula reda,” menurut Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, kepada televisyen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC). — Reuters