Anda di sini

Ugutan jenayah: Pemandu teksi didenda RM500

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi didenda RM500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan sebilah parang terhadap seorang lelaki, pada Februari lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Azmal Mohd Azmi, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan sebilah parang ke atas Muzammil Zainal, 43, dengan tujuan untuk menakutkan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Surau An-Nur, Jalan Horley, Dang Wangi, di sini pada 19 Feb lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu supaya dikenakan denda yang minimum kerana dia perlu menanggung keluarga dan menghidap penyakit jantung berlubang.

Saya memohon supaya mahkamah mengenakan denda RM200 kerana saya hanya ada RM300 sahaja untuk membayar denda. Lebihan wang itu saya nak belanja anak-anak...dengan kos hidup tinggi saya tidak mampu membayar denda yang lebih tinggi.

Saya juga sudah benar-benar insaf dan saya ingin hidup bersama keluarga saya,” katanya. — Bernama

Advertisement