Anda di sini

Sultan kecewa politik kebencian, fitnah

Advertisement

Landskap politik perlu berlandaskan usaha untuk mencapai urus tadbir yang cemerlang  

 Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, semalam. — Gambar Bernama
UCAPAN: Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2017 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan perkembangan politik mutakhir ini yang dikatakan dicemari dengan amalan politik kebencian dan fitnah.

Baginda bertitah landskap politik hari ini perlu berlandaskan pengertian sebenar, iaitu sesebuah kerajaan perlu berusaha untuk mencapai urus tadbir yang cemerlang bagi membangunkan negeri dan rakyat.

Beta ingin menyatakan bahawa politik bukanlah semata-mata untuk memburu kuasa.

Amat malang sekali politik hari ini dicemari dengan kebencian, kemarahan, fitnah, menimbulkan salah faham antara satu sama lain dan perkauman sempit,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 di Bangunan DUN Selangor di sini semalam.

Turut mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Sultan Selangor mengingatkan kerajaan negeri supaya melaksanakan elemen integriti, ketelusan, urus tadbir yang baik serta institusi berwibawa dalam menguruskan pembangunan ekonomi Selangor pada masa depan.

Titah baginda, asas ekonomi bukan lagi tertumpu kepada persoalan imbangan pembayaran dan angka ekonomi semata-mata tetapi asas ekonomi hari ini mesti merangkumi antara lain amalan integriti dan ketelusan.

Beta amat sukacita apabila prinsip yang beta nyatakan tadi mendasari pentadbiran kerajaan negeri dan menyuntik keyakinan pelabur untuk melabur serta mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin seterusnya menitahkan kerajaan negeri supaya berusaha mempelbagaikan sumber pendapatan negeri dengan mencari sumber baharu dan tidak hanya bergantung kepada hasil tanah.

Dalam perkembangan lain, baginda bertitah supaya semua pihak mengambil sikap yang bertanggungjawab dengan tidak mempolitikkan isu air sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.

Beta berkenan kerajaan negeri telah menjalankan kerja-kerja secara menyeluruh dan mengambil langkah yang terbuka dan telus dalam memuktamadkan proses pengambilalihan syarikat konsesi air bagi memelihara kepentingan rakyat negeri Selangor,” titah baginda. Bernama

Advertisement