Anda di sini

Skuad wanita Sarawak diundi bersama NS, Pahang dan Kelantan

Advertisement

KUCHING: Skuad bola sepak wanita Sarawak diundi bersama Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan dalam Kumpulan C bagi mengharungi kempen Piala Tun Sharifah Rodziah 2017 yang akan menyingkap tirai saingan bulan depan di Miri.

 Di atas kertas, skuad tuan rumah dijangka mampu menepati ramalan untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.

 Berdasarkan prestasi ketika penglibatan pasukan dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Wanita 2017, Sarawak berupaya memberi saingan kompetitif.

 Mengambil kira pencapaian edisi lepas, Sarawak menamatkan saingan di peringkat separuh akhir setelah tewas dengan juara dua kali (2015-2016), MISC-MIFA.

 Begitu juga dengan penglibatan Sarawak dalam kempen LBR Wanita 2017, yang terpaksa akur dengan wakil dari Kedah, Kota Setar pada aksi separuh akhir.

 Namun ketika itu, skuad Sarawak dibarisi gabungan pasukan Bintulu dan Miri.

 Bagi kejohanan kali ini, beraksi selaku tuan rumah kejohanan, Sarawak disasar merangkul kejuaraan pertama.

 Bermain di tempat sendiri ternyata memberi kelebihan kepada skuad tuan rumah sekali gus berusaha membawa pulang trofi kejohanan.

 Pasukan wanita Sarawak akan diperkuatkan dengan barisan pemain dari skuad pilihan LBR 2017.

 Penglibatan pemain pilihan itu dijangka mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

Advertisement