Anda di sini

Penjawat awam dinasihat utamakan kesihatan

Advertisement

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menasihatkan semua penjawat awam agar memberi keutamaan kepada kesihatan diri agar dapat meningkatkan produktiviti negara.

Katanya mereka perlu menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan sihat serta membuat kunjungan ke hospital bagi mengelak daripada menghidap pelbagai penyakit.

Saya setuju semua orang sibuk dan ingin menyelesaikan tugas serta meningkatkan prestasi. Tetapi kesihatan juga perlu diberi keutamaan agar dapat meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Ali yang juga Penasihat Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) ditemui pada majlis perasmian seminar tahunan Kesihatan ‘Lelaki: Hargai Kesihatan Anda’ anjuran Puspanita.

Perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Terdahulu, Ali menyerahkan sumbangan kebajikan Puspanita berjumlah RM270,000 kepada Dr Chen untuk bantuan peralatan perubatan dan bukan perubatan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, Hospital Miri, Sarawak dan Hospital Putrajaya.

Sementara itu, dalam ucapannya Dr Chen berkata sikap ego dan kurang mengambil berat tentang pemakanan dan penyakit merupakan antara sebab kaum lelaki tidak mengambil kisah dengan kesihatan.

Beliau berkata sering kali, golongan itu juga memberikan alasan kesibukan bekerja dan tidak mempunyai masa untuk membuat pemeriksaan kesihatan, selain enggan berbincang secara terbuka mengenai penyakit yang dihadapi. — Bernama

Advertisement