Anda di sini

Pengkritik utama Kremlin didakwa

Advertisement

Seru protes antirasuah, Navalny dan 1,000 penunjuk perasaan ditangkap

 Navalny (kanan) dieskot para pegawai polis sebaik tiba di mahkamah Tverskoi di Moscow, semalam untuk pendengaran kesnya. — Gambar Reuters
PENGKRITIK LANTANG: Navalny (kanan) dieskot para pegawai polis sebaik tiba di mahkamah Tverskoi di Moscow, semalam untuk pendengaran kesnya. — Gambar Reuters

MOSCOW: Pengkritik utama Kremlin Alexei Navalny dihadapkan ke mahkamah semalam selepas ditahan bersama lebih 1,000 yang lain kerana mengadakan protes antirasuah di Moscow.

Navalny telah menyeru protes yang membanjiri negara kelmarin selepas menerbitkan satu laporan awal bulan ini yang menuduh Perdana Menteri Dmitry Medvedev mengawal empayar hartanah menerusi rangkaian kabur pertubuhan bukan mengaut keuntungan.

Selain Moscow dan Saint Petersburg, sejumlah bandar wilayah di mana protes jarang berlaku turut mengadakan demonstrasi yang menarik sejumlah besar golongan bawah umur yang dilahirkan sepanjang tempoh 17 tahun pemerintahan Presiden Vladimir Putin.

Navalny yang telah mengumumkan pelan untuk bertanding bagi jawatan presiden dalam pilihan raya 2018, telah ditahan ketika berjalan ke pusat protes di Moscow.

Kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang berdemonstrasi di tengah ibu negara Rusia itu, menjadikannya antara rali haram terbesar sejak beberapa tahun ini, menurut polis.

Navalny yang ditahan semalaman dalam lokap polis, berdepan tahanan reman hingga 15 hari kerana menyeru protes yang tidak dibenarkan, menurut jurucakapnya Kira Yarmysh dalam Twitter.

Kira-kira 1,030 orang ditahan susulan rali di Moscow, menurut OVD-Info, laman sesawang yang memantau penahanan aktivis.

Majoriti daripada mereka dibebaskan pada sebelah malamnya setelah didenda, manakala kira-kira 120 masih dalam tahanan polis semalam, tambah OVD-Info.

Seorang anggota polis dimasukkan ke hospital dengan kecederaan di kepala semasa rali di Moscow, menurut kementerian dalam negeri.

Kesatuan Eropah menggesa Rusia membebaskan serta-merta para penunjuk perasaan yang ditahan.

Jurucakap Jabatan Luar Amerika Syarikat (AS) Mark Toner pula menyifatkan penahanan penunjuk perasaan, pemantau hak asasi manusia dan wartawan yang memprotes secara aman melanggar teras nilai demokrasi.

Saya berbangga dengan mereka yang membanjiri jalanan hari ini.

Anda adalah orang terbaik di negara ini dan harapan Rusia bagi masa depan yang normal,” menurut Navalny dalam Twitter kelmarin.

Akhbar perniagaan liberal Vedomosti berkata semalam bahawa protes tersebut menyerupai rali antikerajaan yang membanjiri Rusia pada 2011 ekoran penipuan undi selepas pilihan raya parlimen yang memuncak menjadi cabaran terbesar terhadap Putin sejak berkuasa pada 2000.

Perlembagaan Rusia membenarkan perhimpunan awam tetapi undang-undang terkini mengharamkan protes yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa perbandaran yang kerapkali menafikan kebenaran untuk rali oleh pengkritik Kremlin.

Navalny, 40, seorang peguam terlatih, pertama kali mengumumkan pelan untuk bertanding bagi jawatan presiden selepas menang mengejut 27 peratus undi dalam pilihan raya datuk bandar Moscow pada 2013.

Namun sejak itu beliau menjadi sasaran beberapa pendakwaan dan pada Februari didapati bersalah menyeleweng.

Dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun yang ditangguhkan, sekali gus menjadikannya tidak layak bertanding dalam pilihan raya tahun depan. — AFP

Advertisement