Anda di sini

Penantian lapan bulan berakhir kegembiraan

Advertisement
 Hariyanti bersama anaknya Nur Ain Sofia membuat panggilan berkongsi berita gembira mengenai pembebasan suaminya Mohd Ridzuan yang diculik kumpulan Abu Sayyaf pada 18 Julai lepas. — Gambar Bernama
GEMBIRA: Hariyanti bersama anaknya Nur Ain Sofia membuat panggilan berkongsi berita gembira mengenai pembebasan suaminya Mohd Ridzuan yang diculik kumpulan Abu Sayyaf pada 18 Julai lepas. — Gambar Bernama

TAWAU: Penantian lapan bulan Hariyanti Amsi, 31, yang menunggu suaminya Mohd Ridzuan Ismail, 33, diselamatkan selepas diculik Abu Sayyaf pada Julai tahun lepas, berakhir dengan kegembiraan apabila diselamatkan pasukan keselamatan Filipina, tengah malam kelmarin.

Hariyanti ketika ditemui di kediamannya di Otentik Kampung Tanjung Batu Keramat begitu terkejut apabila diberitahu mengenai kejayaan operasi menyelamat suaminya dan dua lagi rakyat Malaysia yang diculik di Sulu.

Betulkah sudah selamat? Ya Allah, inilah masa yang saya tunggu selama lapan bulan,” katanya yang terus menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan kegembiraan.

Katanya, anak perempuannya Nur Ain Sofia, 3, kerap memberitahunya bahawa ayahnya akan pulang ke pangkuan keluarga.

Sejak seminggu lepas, anak saya kerap memberi saya semangat dan memberitahu ayahnya akan balik, dan itu menjadi penguat semangat saya.

Tidak sangka, dia (suami) betul-betul balik, mungkin anak saya ada bermimpi sehingga berkata sebegitu. Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan dia (suami).

Sekiranya semua selesai saya berhajat mahu mengadakan kenduri doa selamat sebagai tanda kesyukuran Allah makbulkan doa saya dan atas kejayaan pihak berkuasa menyelamatkan suami saya,” katanya dalam nada sebak.

Selain itu, ibu kepada tiga anak perempuan yang trauma dengan kejadian yang menimpa suaminya itu juga tidak mahu Mohd Ridzuan bekerja di laut selepas ini.

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) pagi semalam mengesahkan tiga kru kapal tunda Serudong Tiga yang diculik Abu Sayyaf pada 18 Julai di perairan Dent Haven di Lahad Datu berjaya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di Poblacion Punay, Panglima Estino di Sulu.

Tiga kru yang juga rakyat Malaysia itu adalah Mohd Ridzuan, Fandy Bakran, 27, dan Mohd Jumadil Rahim, 24.

Khamis lepas, dua daripada tiga kru bot yang diculik iaitu Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di selatan republik itu.

Kedua-dua mereka kemudian selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dari Manila malam kelmarin dan kini sedang menerima rawatan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, usaha Bernama untuk menemui anggota keluarga Fandy dan Mohd Jumadil masing-masing di Tanjung Batu dan Taman Ria gagal kerana mereka tiada di rumah. 

Bagaimanapun, kebanyakan jiran Mohd Jumadil di Taman Ria melahirkan rasa syukur selepas mendengar perkhabaran gembira tersebut.

Noriyanti Anwar, 32, berkata sejak melihat berita di televisyen mengenai Abd Rahim dan Tayudin, dia terfikir bagaimana pula dengan nasib Mohd Jumadil dan dua lagi mangsa culik kumpulan militan itu.

Selepas itu, tiba-tiba baca berita bahawa Mohd Jumadil dan dua lagi mangsa berjaya diselamatkan, alamdulillah,” katanya.

Seorang lagi jiran Mohd Jumadil, Azman Isnani, 36, turut gembira mendengar berita itu selepas tiga kali tertipu dengan khabar angin menyatakan bahawa mangsa culik Abu Sayyaf sudah dibebaskan. — Bernama

Advertisement