Anda di sini

MTC tumpu pada segmen pesat membangun dan baharu muncul

Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan memberi tumpuan bukan sahaja di pasaran negara maju, tetapi juga dalam segmen-segmen pesat membangun dan baru muncul seperti India dan China.

 “Malah, kami akan membuka pejabat serantau baru di India sebagai tumpuan utama bagi misi pemadanan perniagaan yang berpotensi di negara tersebut dan benua kecil India,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Abdul Rahim Nik dalam satu kenyataan di sini.

 Dalam hal ini, beliau berkata, Seminar Pemasaran 2017 adalah antara inisiatif yang dilaksanakan oleh MTC bagi mengukuhkan kewujudan Malaysia dalam industri kayu di peringkat global.

 Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan pertumbuhan eksport antara lima dan lapan peratus tahun ini dan seminar tersebut akan membantu menggalakkan momentum ke arah mencapainya.

 Seminar sehari pada 18 April itu juga bertujuan untuk mendedahkan perserta industri kepada data pasaran terkini dan hala tuju ke arah membantu mereka memanfaatkan peluang-peluang global yang tersedia.

 Bertemakan, ‘Prospek Pasaran Kayu Global dan Peluang Eksport bagi Produk dan Perabot Kayu Malaysia’, ia juga bertindak sebagai platform bagi anggota industri berkongsi idea dan pengalaman dari pelbagai pasaran di mana ia beroperasi.

 Abdul Rahim berkata adalah penting untuk terus terlibat dengan rangkaian yang lebih luas dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam perubahan pasaran, cabaran-cabaran dan peluang dalam industri ini.

 “Oleh kerana Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedang berusaha mencapai pertumbuhan eksport antara lima hingga lapan peratus tahun ini, seminar pemasaran itu juga merupakan satu inisiatif yang sangat baik untuk menghubungkan peserta industri bagi membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik ke arah memenuhi objektif yang sama bagi industri ini,” katanya dalam kenyataan itu.

 MTC juga menjadi tuan rumah bagi sesi klinik selama sehari selepas seminar pemasaran itu.

 Sesi ini akan memberi peluang kepada anggota industri perkayuan tempatan menyertai perundingan bersemuka dengan para penceramah jemputan antarabangsa.

 Enam penceramah industri peringkat antarabangsa, dari China, India, Eropah, Afrika Selatan, Filipina dan Amerika Syarikat, yang dipilih dari pasaran kayu yang sedia ada dan sedang pesat membangun, akan berkongsi dan memberi maklumat terkini tentang pasaran dan juga arah aliran di negara masingmasing. — Bernama  

Advertisement