Anda di sini

Lima individu didakwa terlibat pengubahan wang haram lebih RM800,000

Advertisement

SHAH ALAM: Empat lelaki dan seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menerima hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM854,075 menerusi akaun bank masing-masing.

Ahmad Shazni Mat Hassan, 34; Shafii Ismail, 44; Nasarudin Ali, 62; Ahmad Suffian Abu Bakar, 31, dan Salisa Essoh, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Ahmad Shazni didakwa menerima RM334,536; Shafii (RM448,564.05); Nasarudin (RM17,753.44); Ahmad Suffian (RM21,327.70) dan Salisa (RM31,894.54) yang merupakan hasil aktiviti pengubahan wang haram di beberapa cawangan Maybank termasuk di Seksyen 20 di sini dan Kuala Selangor, antara 3 Dis 2014 dan 29 Jan 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Hakim Zamri membenarkan kesemua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. — Bernama

Advertisement