TANJUNG MANIS: Majlis Pecah Tanah Tapak Perindustrian, Kuala Rajang Industrial Synergy Sdn Bhd (KRIS) dan Kompleks Penyimpanan Pukal serta jeti Ascent Industrial Complex (AIC) Sdn Bhd berlangsung di Kuala Rejang, Tanjung Manis di sini, semalam.
Upacara pecah tanah tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Berucap pada majlis itu, Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan merangkap Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, terlancarnya projek berkenaan, ia akan menjadi batu loncatan atau anjakan paradigma perkembangan ekonomi Kuala Rajang.
Menurut beliau, KRIS telah diperuntuk kawasan seluas 286 hektar untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian. Mankala 28 hektar dari kawasan ini telah diagihkan kepada AIC Sdn Bhd.
Len juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata KRIS Sdn Bhd merupakan syarikat 100 peratus milik Bumiputera tempatan (Kampung Rejang).
“Ascent Industrial Complex merupakan sebuah syarikat negara jiran yang bersetuju melabur membangun kilang pemprosesan minyak sawit mentah secara pukal untuk Fasa Satu yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM150 juta.
“Usaha seperti ini adalah sebahagian daripada proses untuk mentransformasi industri sawit menerusi penjenteraan dan inovasi yang amat penting untuk meningkatkan kemajuan penghasilan minyak sawit yang lebih bermutu sambil meningkatkan lagi pendapatan,” katanya.
Beliau juga turut memberitahu bahawa 30 peratus saham KRIS diperuntuk kepada Lembaga Amanah Kuala Rajang dipengerusi beliau sendiri.
Di samping itu katanya, projek dibangun KRIS dan AIC Sdn Bhd itu juga akan menjadi pelengkap kepada Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Tanjung Manis yang dibangunkan oleh PUSAKA dan KTS Group.
Sementara itu, AIC Sdn Bhd telah diberi kepercayaan untuk membina dan mengendalikan operasi Terminal Penyimpanan Pukal berkapasiti 64,000 tan metrik minyak sawit mentah untuk fasa pertama di Kuala Rajang.
Hadir sama ialah Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi, Konsul Jeneral Republik Indonesia Drs Jahar Gultam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol dan ADUN Daro Safiee Ahmad.