Anda di sini

Inta Bina Group dapat kelulusan penyenaraian di pasaran ACE

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kontraktor binaan, Inta Bina Group Bhd, mendapat kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd bagi tawaran awam permulaannya (IPO) disenaraikan di Pasaran ACE yang dijadualkan menjelang suku kedua 2017.

Pengarah Urusannya, Paul Lim Ooi Joo berkata IPO itu akan memberi manfaat dari segi keanjalan kewangan untuk mendapatkan peluang pertumbuhan kumpulan itu pada masa depan.

Ia akan turut mempertingkatkan reputasi kumpulan dalam usaha memasarkan perkhidmatan pembinaan kami, menambah bilangan pelanggan di Malaysia selain mengekal dan menarik penyertaan pekerja berkemahiran baharu dalam industri pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Hasil IPO itu akan digunakan terutamanya bagi memenuhi keperluan modal kerja dan membiayai operasi harian, termasuk modal kerja bagi projek masa depan Inta Bina.

Sebahagian daripada jumlah yang dikumpulkan itu akan turut digunakan bagi perbelanjaan modal untuk pembelian pelbagai jentera dan kelengkapan bagi menyokong pengembangan perniagaan syarikat serta menggantikan jentera lama, membayar pinjaman bank dan menampung perbelanjaan penyenaraian IPO berkenaan.

Cadangan IPO itu membabitkan terbitan sebanyak 107.05 juta saham-saham baharu yang mewakili 20 peratus daripada penambahan modal saham.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26.76 juta akan ditawarkan kepada orang ramai secara pengundian, sebanyak 20.01 juta kepada barisan pengarah dan pekerja yang layak manakala 53.53 juta bagi tawaran peruntukan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang terpilih.

Baki saham baharu sebanyak 6.75 juta pula bagi tawaran peruntukan persendirian kepada pelabur terpilih.

Malah, sebahagian ketetapan langkah itu menyaksikan para pemegang saham sedia ada syarikat itu akan menawarkan jualan sebanyak 26.76 juta saham kepada pelabur terpilih menerusi peruntukan persendirian.

M&A Securities Sdn Bhd pula bertindak sebagai penasihat, pihak penaja dan penaja jamin serta ejen peruntukan bagi langkah IPO berkenaan. — Bernama

Advertisement