Anda di sini

Debbie dikhuatiri siklon terburuk Australia sejak 2011

Advertisement
 Penduduk mengisi beg pasir sebagai persediaan menghadapi Siklon Debbie di Bowen, selatan Townsville semalam. — Gambar Reuters
ENGGAN BERPINDAH: Penduduk mengisi beg pasir sebagai persediaan menghadapi Siklon Debbie di Bowen, selatan Townsville semalam. — Gambar Reuters

SYDNEY: Ribuan rakyat Australia meninggalkan kediaman mereka ketika satu siklon yang sangat kuat sedang bergerak menerusi beberapa bandar tepi pantai di Queensland semalam, sementara yang lain tidak mengendahkan nasihat pihak berkuasa untuk berpindah dengan angin diramalkan mencecah 300 kilometer sejam (kmsj).

Siklon Debbie diramal bertambah kuat menjadi ribut kategori empat sebelum melanda wilayah timur laut awal hari ini, menurut Biro Meteorologi Australia.

Perdana Menteri Negeri Annastacia Palaszczuk memberi amaran ia akan menjadi ribut paling kuat melanda Australia sejak Siklon Yasi pada 2011, yang memusnahkan rumah, menghancurkan tanaman dan menjejaskan pulau peranginan.

Kira-kira 3,500 orang telah meninggalkan bandar tanah rendah berhampiran Townsville, sementara pihak berkuasa menasihati 2,000 orang lagi di bandar Bowen agar turut berpindah, menurut Palaszczuk.

Ini akan menjadi satu siklon yang teruk

Tiupan angin ini akan menjadi amat kuat,” Palaszczuk memberitahu televisyen Nine Network.

Ribut kategori lima adalah yang paling kuat pada skala lima peringkat Saffir-Simpson bagi kekuatan taufan.

Terminal arang batu Abbot Point serta pelabuhan di Mackay dan Hay Point ditutup sehingga notis selanjutnya, menurut jurucakap pelabuhan Fiona Cunningham.

BHP Billiton menangguhkan  operasi di lombong arang batunya di South Walker Creek, selatan laluan yang dijangkakan untuk siklon tersebut.

Glencore menyatakan ia telah menghentikan operasi di  lombong arang batu Collinsville Newlands.

Angin kencang pula membadai pusat peranginan pelancong di Pantai Airlie dan Whitsunday Islands.

Lapangan Terbang Townsville ditutup manakala syarikat penerbangan Qantas, Jetstar, Rex dan Virgin Australia menyatakan mereka telah membatalkan beberapa penerbangan pergi dan keluar dari wilayah yang dijadual semalam dan hari ini.

Beberapa keping gambar menunjukkan segelintir penduduk cuba melindungi rumah dan kedai dengan beg pasir dan papan nipis.

Kami akan menempuhinya bersama-sama,” penduduk Cungulla Mike Kennedy memberitahu Badan Penyiaran Australia (ABC).

Queensland menghasilkan kira-kira 95 peratus keluaran pisang Australia dan Debbie dalam  laluan untuk melepasi wilayah penanaman terbesar di utara jauh, menurut penganalisis.

Justeru hujan lebat dan angin kuat akan menyebabkan kerosakan tanaman yang ketara.

Siklon itu dijangka terlepas kebanyakan lombong arang batu di wilayah, berdasarkan data cuaca dan perlombongan di Thomson Reuters Eikon, dan tiada kapal besar berada di laluan ribut.

Polis menyalahkan cuaca buruk sebagai punca kemala-ngan trafik di mana seorang pelancong wanita berusia 31 tahun maut. — Reuters

Advertisement