Anda di sini

3 Mei dengar laporan akhlak dua remaja lelaki mengaku miliki tiket loteri haram

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 3 Mei depan untuk mendengar laporan sosial dan laporan akhlak dua remaja lelaki yang mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki tiket-tiket loteri haram.

Manakala kedua-dua mereka masing-masing dibenarkan dibebas dengan jaminan RM1,500 berserta dua penjamin tempatan dan RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Pesalah muda, 18, dari Permyjaya dan pesalah juvana, 17, dari Pujut Adong di sini masing-masing telah didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, pesalah muda dan juvana terbabit didapati ada memiliki tiga keping kertas tiket-tiket loteri yang berangka 10,000 sebagai loteri haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang, 18 Februari lalu di sebuah kedai makan di Pusat Komersil Boulevard di sini.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement