Anda di sini

Lapan pasukan rebut trofi Piala 1 KDN mulai 1 April

Advertisement

KUCHING: Sejumlah lapan pasukan bakal berentap untuk merebut trofi kejohanan berprestij Piala 1 KDN yang bermula pada 1 April 2017 di Padang Bola Sepak PUSPEN Kuching.

 Pasukan terbabit terdiri daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Lembaga Lada Hitam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak.

 Pengerusi Penganjur Kelab Galatica, Hamzie Saroji memberitahu kejohanan tersebut dianjurkan secara dwitahunan di mana kejohanan tersebut telah bermula pada 2013 dan 2015.

 Pada 2013, pasukan PDRM berjaya menjadi juara manakala pasukan Kastam muncul juara pada 2015.

 Antara lain, Piala 1 KDN dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan jabatan kerajaan.

 “Ia selari dengan saranan kerajaan untuk memastikan kakitangan kerajaan mengamalkan gaya budaya hidup yang sihat,” kata Hamzie dalam kenyataan media kelmarin.

 Bagi kejohanan tahun ini, ia akan diadakan secara liga di mana pasukan yang menduduki tempat pertama dan kedua akan berentap di perlawanan akhir.

 Juara untuk pertandingan ini akan membawa pulang wang tunai RM1,500 serta piala dan medal, tempat kedua RM800 dan medal dan tempat ketiga RM500 dan medal.

 Pihak penganjur berharap setiap pasukan yang bertanding dapat mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi memudahkan kejohanan tersebut berjalan dengan lancar.

Advertisement