Anda di sini

Lam pemimpin baharu Hong Kong

Advertisement
 Lam melambaikan tangan tanda gembira selepas diumumkan memenangi pilihan raya bagi jawatan pemimpin Hong Kong. — Gambar Reuters
SEDIA GALAS TUGAS: Lam melambaikan tangan tanda gembira selepas diumumkan memenangi pilihan raya bagi jawatan pemimpin Hong Kong. — Gambar Reuters

Calon pilihan Beijing ditolak aktivis demokrasi, pemilihan hanya sandiwara

HONG KONG: Calon pilihan Beijing, Carrie Lam, telah dipilih untuk menjadi pemimpin baharu Hong Kong semalam oleh sebuah jawatankuasa yang umumnya adalah pro—China, dalam pemilihan yang ditolak sebagai satu sandiwara oleh aktivis demokrasi yang bimbang mengenai kehilangan kebebasan yang dihargai di bandar raya itu.

 Ia merupakan undian kepimpinan pertama sejak perhimpunan ‘Pergerakan Payung’ besar-besaran yang menuntut pilihan raya bebas sepenuhnya pada 2014 gagal untuk mendapatkan pembaharuan dan diadakan selepas penggal yang bergolak di bawah ketua eksekutif sekarang, Leung Chun-ying.

 Leung, yang dilihat oleh penentang sebagai boneka Beijing, akan berundur pada Julai selepas lima tahun menyandang jawatan.

 Kira-kira tiga suku daripada 1,194 ahli jawatankuasa pilihan raya berasal dari kem tanah besar.

 Lam dengan emosional tunduk kepada penyokong selepas wanita itu diumumkan telah menang dengan meyakinkan dengan 777 undi berbanding 365 bagi pencabarnya yang lebih sederhana, John Tsang.

 Calon ketiga dan paling liberal, Woo Kwok-hing, menerima hanya 21 undi sahaja.

 Lam, yang dilihat umum sebagai pilihan Beijing bagi jawatan itu sepanjang kempen, akan menjadi ketua eksekutif wanita pertama di Hong Kong.

 Beliau begitu tidak disukai kempen prodemokrasi selepas mempromosikan pakej pembaharuan yang disokong oleh Beijing yang mencetuskan tunjuk perasaan besar- besaran pada 2014.

 Ratusan penunjuk perasaan termasuk aktivis prodemokrasi terkemuka Joshua Wong berhimpun berhampiran pusat undian di hadapan pelabuhan.

 Mereka melaung: “Tentang pelantikan pihak berkuasa pusat, kami memilih kerajaan kami sendiri!” Penunjuk perasaan dihalang oleh polis apabila sebahagian daripada mereka cuba merempuh perintang.

 Tidak jauh dari sana, penyokong pr o -China memainkan muzik perbarisan yang dikelilingi bendera- bendera kebangsaan dan bandar raya.

 Ahli parlimen pemberontak, Nathan Law, yang sebagai seorang penggubal undang-undang memiliki undi automatik, berkata beliau akan memasukkan undi kosong.

 “Ia masih pemilihan olehj kerajaan Beijing, kata Law.

 Wakil-wakil dari pelbagai sektor, daripada perniagaan hingga kepada pendidikan, duduk dalam jawatankuasa yang memilih ketua eksekutif, tetapi kebanyakan daripada 3.8 juta pengundi di bandar raya itu tidak ada hak dalam undian itu.

 Hong Kong adalah separa autonomi dan diperintah di bawah perjanjian ‘satu negara, dua sistem’ sejak ia diserahkan kembali kepada China oleh pemerintah penjajah, Britain, pada 1997. — AFP

Advertisement