Anda di sini

DHU lahir pengurus industri automotif

Advertisement

Satu-satunya universiti di dunia tawar kursus lengkap berkaitan ekosistem automotif

KUALA LUMPUR: Peranan DRB-HICOM University (DHU) semakin menyerlah, yang kini berusia enam tahun, sebagai satu-satunya universiti di dunia yang menawarkan pelbagai jenis kursus lengkap berkaitan ekosistem automotif.

 Setakat ini, universiti itu telah mengeluarkan seramai 1,140 graduan termasuk kumpulan terbaru 440 orang, menerima diploma dan ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen keempatnya semalam di kampusnya di Pekan, Pahang, yang menempatkan kilang automotif Volkswagen dan Mercedes dan digelar oleh media sebagai Detroit of Malaysia.

 Jumlah graduan DHU telah meningkat dua kali ganda daripada tahun sebelumnya seramai 200 orang kepada 440 graduan, jumlah terbesar pada tahun ini.

 Naib Canselor DHU Prof Dr Gary James Clayton berkata sektor automotif Malaysia yang semakin berkembang amat memerlukan pengurus automotif lepasan universiti untuk mengendalikan industri dan DHU bersedia untuk mengisi jurang pengurusan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

 Dengan Malaysia mempunyai Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) jualan kereta baharu terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN, DHU telah menyediakan pengurus dan penyelia mahir dalam industri automotif bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di rantau ini.

 Prof Clayton berkata DHU kini mempunyai 24 program yang unik meliputi segalagalanya dalam ekosistem tersebut manakala 33 kursus lagi dalam proses untuk diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, menjadikannya sebagai penyedia kursus daripada permulaan hingga pengguna akhir dan sokongan pengguna akhir.

 Ditanya mengenai peluang pekerjaan bagi graduan DHU, beliau berkata: “Malaysia mempunyai taraf hidup yang tinggi berbanding kebanyakan tempat di ASEAN.

 “Oleh itu, bukan suatu yang mengejutkan apabila ia mempunyai pasaran yang besar untuk kenderaan.

 Ini bermakna, terdapat banyak peluang pekerjaan dan terdapat pertumbuhan yang besar dari segi peluang pekerjaan dalam keseluruhan ekosistem kenderaan”.

 Beliau berkata minat untuk mengambil kursus di DHU juga amat menggalakkan dengan pengambilan pelajar meningkat sebanyak 30 peratus pada tahun lepas.

 Ia kini mempunyai 1,200 pelajar di kampus yang dapat menampung seramai 5,000 orang.

 Prof Clayton berkata walaupun tumpuannya kini pada pelajar tempatan, DHU dalam usaha ke arah menarik pelajar dari negara-negara ASEAN, terutamanya negara yang mempunyai keperluan industri yang sama seperti Malaysia, seperti Thailand dan Indonesia serta Filipina dan Vietnam.

 Beliau berkata kehadiran DHU di Malaysia memberi negara kedudukan utama kerana dalam mana-mana perniagaan, menjadi nombor satu penting untuk kejayaan.

 “Memandangkan pasaran berubah dan perkara seperti pasaran bebas akan wujud seperti Perkongsian Trans- Pasifik (TPP) atau apa sahaja derivatif, penting bagi Malaysia untuk mengambil kedudukan utama.

 “Jika kita mempunyai kedudukan utama dalam pengurusan pemikiran dan pengurusan pengetahuan, kita akan menerajui pembangunan industri,” katanya.

 Beliau berkata walaupun kebanyakan graduan kini telah mendapat pekerjaan dalam Kumpulan DRB, universiti turut menumpukan kepada memenuhi permintaan pada masa akan datang di rantau ASEAN dan pesaing DRB.

 “Kami mempunyai hubungan yang amat rapat dengan seluruh industri automotif dan pelajar kami menjalani latihan di seluruh industri dan lebih 90 peratus daripada pelajar kami akan ditawarkan pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian,” katanya.  — Bernama

Advertisement