Anda di sini

Jenayah menurun

Advertisement
 Aziz semasa memeriksa barisan kawad anggota sempena  Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-210 di IPK, semalam.
PERIKSA: Aziz semasa memeriksa barisan kawad anggota sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-210 di IPK, semalam.

  Jumlah dicatatkan pada Jan-Mac tahun ini menurun 39 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.


 

KUCHING: Indeks jenayah keseluruhan di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 39 kes iaitu 1,467 kes sepanjang Januari hingga Mac tahun ini berbanding 1,506 kes untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Demikian menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof yang menjelaskan jenayah harta benda menunjukkan penurunan paling banyak iaitu 1,264 kes berbanding 1,299 kes pada tahun 2016.

Perbandingan sehingga semalam (kelmarin) mendapati indeks jenayah telah menurun sebanyak tiga peratus dan kita akan meneruskan lagi usaha kita untuk memastikan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Fokus kita di sini (Sarawak) adalah untuk membanteras kegiatan pecah rumah serta samun yang banyak memberi kegusaran kepada masyarakat dan syukur jumlah kes untuk kedua-dua jenayah tersebut berkurangan,” ujarnya.

Aziz selain itu turut memberitahu kes ragut untuk tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 22 kes, curi kenderaan catat penurunan sebanyak 74 kes dan pecah rumah serta curi menurun sebanyak 79 kes.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-210 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, semalam.

Sementara itu, Aziz turut memberitahu jumlah kes kemalangan jalan raya untuk tempoh tiga bulan pertama pada tahun ini juga menunjukkan penurunan yang amat memberangsangkan.

Kes kemalangan terutama melibatkan kematian mencatatkan penurunan yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak 70 kes berbanding 88 kes untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Justeru, pihak polis dengan kerjasama pelbagai agensi akan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai aspek-aspek keselamatan di jalan raya melalui kempen-kempen keselamatan dan Ops Selamat yang diadakan pada setiap musim perayaan,” katanya.

Bercakap mengenai operasi membanteras kegiatan perjudian, Aziz menjelaskan pihaknya akan sentiasa memantau kegiatan tersebut dan menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat agar tindakan dapat diambil.

Kegiatan perjudian haram terutamanya menjual nombor ekor haram adalah antara fokus kita dan operasi membanteras kegiatan ini akan terus dijalankan, malah sebelum ini juga kita telah mencatatkan beberapa kejayaan dalam serbuan-serbuan yang dilakukan,” jelas Aziz.

  • oleh
  • Advertisement