Anda di sini

Wanita ditemui mati dipercayai ditikam teman lelaki syak mangsa curang

Advertisement
 Anggota polis mengusung mayat mangsa dari tempat kejadian untuk dihantar ke Unit Forensik HUS.
TRAGIS: Anggota polis mengusung mayat mangsa dari tempat kejadian untuk dihantar ke Unit Forensik HUS.

KUCHING: Seorang wanita ditemui mati selepas dipercayai ditikam teman lelakinya yang dikatakan berang gara-gara mangsa menolak ajakan melakukan hubungan seks.

Dalam insiden di sebuah bangunan kedai di Batu 4 Jalan Penrissen di sini awal pagi semalam, suspek, 25, bermalam di bilik sewa teman wanitanya itu apabila berlaku pergaduhan di antara mereka selepas mangsa dikatakan enggan melakukan hubungan seks dengannya sekitar jam 3.45 pagi.

Menurut sumber, keengganan mangsa, 25, yang bekerja sebagai pembantu kedai menyebabkan suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Siasatan awal mendapati suspek cuba mengajak mangsa melakukan hubungan seks tetapi mangsa enggan menyebabkan suspek yang mengesyaki teman wanitanya itu menjalin hubungan dengan lelaki lain terus bertindak menikamnya di leher.

“Suspek kemudian menikam dirinya di badan, leher dan pergelangan tangan sebelum berlari mendapatkan bantuan di sebuah kedai runcit berdekatan,” kata sumber.

Pekerja di kedai tersebut yang terkejut melihat keadaan suspek yang berlumuran darah segera menghubungi pihak polis yang kemudian mengejarkan suspek ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

“Dia (suspek) ketika itu sangat lemah dan memberitahu dia telah diserang sambil memberikan telefon bimbitnya dan meminta kami menghubungi ambulans,” kata seorang pekerja di kedai tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Mal.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Datuk Dev Kumar yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, suspek semasa ditemui di HUS mengaku menikam teman wanitanya kerana mengesyakinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain. 

“Suspek semasa di hospital memberitahu bahawa dia telah menikam teman wanitanya menyebabkan anggota polis terus ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik dan turut ditemui pisau dipercayai senjata yang digunakan semasa kejadian berdekatan mayat mangsa,” katanya.

Menurut Dev juga, suspek yang bekerja di kedai aksesori kereta kini masih menerima rawatan di HUS ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati suspek mengaku menikam mangsa menggunakan pisau yang diperolehinya dari bilik tersebut sebelum dia cuba untuk membunuh diri dengan menikam dirinya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, di mana ini merupakan kes bunuh yang keenam pada tahun ini dan kesemuanya berjaya diselesaikan,” kata Dev.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HUS untuk bedah siasat yang dijadual akan diadakan pada jam 10 pagi ini.

  • oleh
  • Advertisement