Anda di sini

JAKIM diharap sedia banyak kemudahan untuk murid KAFA

Advertisement

BONGAWAN: Lebih banyak bangunan diharapkan dapat disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kemudahan sekali gus memberi keselesaan kepada anak-anak yang mengikuti pembelajaran dalam Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di daerah ini.

Mencadangkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan Datuk Mohamad Alamin berkata, pada masa ini didapati kelas KAFA beroperasi menumpang di bangunan balai raya, masjid dan surau lama.

“Memang dari segi kemudahan agak menyedihkan kerana ada kelas KAFA ini menumpang di balai raya, masjid dan surau. Di Bongawan ini, Alhamdulillah tempat semuanya baik, cuma kadang-kadang dalam keadaan tidak begitu selesa.

“Kalau ada projek pembangunan, saya cadangkan satu bangunan kelas KAFA baharu dapat dibina di Bongawan dan satu di Membakut. Soal tapak sama-sama kita bincang dan usahakan insy-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Murid Kafa Daerah Bongawan dan Membakut di Masjid Nurul Hidayah Pekan Bongawan.

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan KAFA JAKIM negeri Sabah Noordianah Alwi,  Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bongawan Mohd Saidin Ibrahim, Penolong Pegawai Daerah Papar Awangku Raimy Pg Abd Rahman, Pengerusi Masjid Nurul Hidayah Pekan Bongawan Ahmad Ghani; dan Imam Qariah Razali Abdul Rahman.

Terdahulu, Noordianah dalam ucapannya berkata, kelas KAFA sudah beroperasi selama 25 tahun di Sabah dan pencapaian Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) negeri ini adalah antara yang terbaik di seluruh Malaysia.

Untuk rekod, guru KAFA di Sabah adalah seramai 2,200 orang manakala bilangan murid yang mengikuti kelas KAFA adalah seramai 58,000 orang.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) berterima kasih kepada JAKIM atas usaha  berterusan membawa lebih banyak pembangunan khususnya kemudahan bangunan KAFA dan kebajikan guru.

“Memang banyak sumbangan yang telah diberikan oleh JAKIM di daerah Membakut dan Bongawan. Saya secara peribadi melihat program yang dianjurkan sangat baik,” katanya.

Advertisement