Anda di sini

Ewon tinjau tapak bina surau di Kundasang

Advertisement

KUNDASANG: Dalam rangka lawatan kerja ke Ranau, baru-baru ini, Ahli Parlimen Datuk Dr Ewon Ebin telah meninjau tapak pembinaan surau di Kampung Cinta Mata Kundasang yang merupakan keperluan utama penduduk kampung berkenaan.

Menurut wakil penduduk kampung itu, Jeffrydin Juludin, tanah seluas 0.18 ekar yang dicadang untuk dijadikan tapak pembinaan surau berkenaan adalah milik Mahatin Sairin (penduduk kampung) yang bermurah hati mewakafkannya bagi keperluan umat Islam di situ.

“Akibat ketiadaan surau, umat Islam kira-kira 250 orang di kampung ini terpaksa menunaikan solat di rumah masing-masing atau pergi ke kampung berdekatan seperti Kampung Mesilou untuk bersolat,” katanya.

Sehubungan itu, Ewon yang diiringi oleh beberapa pegawai Parlimen Ranau dengan serta-merta meluluskan peruntukan sebanyak RM20 ribu bagi pembinaan surau berkenaan.

Katanya, keperluan mendesak seperti itu harus diselesaikan segera memandangkan ia melibatkan penggunaan harian oleh rakyat.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan mendesak seperti ini dan adalah tugas para pemimpin masyarakat setempat untuk melaporkannya kepada pihak berwajib bagi mendapat respons sewajarnya,” katanya.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah dua Pegawai Perhubungan Parlimen bagi kawasan Mukim Kundasang, Aslie Karim dan Affendy Gabintal.

Advertisement