Anda di sini

Tentera Filipina selamatkan dua tebusan rakyat Malaysia

Advertisement

KOTA KINABALU: Dua daripada lima rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Heaven, Lahad Datu, Julai tahun lepas, dilaporkan diselamatkan tentera Filipina, awal semalam.

Laporan media Filipina memetik Komander Tentera Wilayah Mindanao Barat, Mejar Carlito Galvez Jr, sebagai berkata dua tebusan itu, Tayudin Anjut, 45, dan Abdul Rahim Summas, 62, diselamatkan di kawasan perairan Pulau Pata di wilayah selatan Sulu.

Menurut portal berita ‘Otago Daily Times’, semasa diselamatkan, dua tebusan itu ditemui dalam keadaan tidak sihat dan lemah dan dibawa ke hospital tentera di Jolo, Sulu, untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Doktor perubatan tentera sedang merawat mereka di hospital kami,” kata Galvez tanpa menyebut bila dan bagaimana kedua-dua mangsa culik itu dibebaskan.

Turut dilaporkan hilang ialah Mohd Zumadil Rahim, 23, Fandy Bakran, 26, kedua-dua dari Tawau dan Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari FELDA Jengka 7, Pahang.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sedang memeriksa kesahihan laporan itu.

“Kami sedang mendapatkan pengesahan (dari pihak berkuasa Filipina),” katanya.

Dalam kejadian 18 Julai itu, lima mangsa dilarikan kumpulan Abu Sayyaf selepas kapal tunda Serudong 3 yang mereka naiki ditemui terkandas dengan keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Heaven.

Sementara itu, isteri Tayudin, Gustia Sultan,47, ketika dihubungi wartawan Bernama di Tawau, pula sangat berharap berita  yang dilaporkan portal berita Filipina berkenaan benar.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan gambar yang dipaparkan media Filipina berkenaan, individu dalam gambar berkenaan memang suaminya.   

“Saya amat bersyukur jika berita ini benar. Tetapi setakat ini, saya belum menerima apa-apa perkhabaran mengenai pembebasan mereka...saya pun tidak boleh cakap banyak,” katanya. — Bernama

Advertisement