Anda di sini

Penolong pegawai seni bina MPSJ didakwa terima rasuah RM4,500

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang penolong pegawai seni bina Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah RM4,500 daripada seorang individu, tahun lepas.

Mengikut pertuduhan, Mohd Suffian Mahamad Idris, 37, yang bertugas di Jabatan Bangunan MPSJ didakwa menerima suapan daripada Yau Wei Yuen sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki itu yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di bilik mesyuarat Syarikat AHF Industries Sdn Bhd, Jalan USJ 1/31, Taman Subang Permai, dekat sini pada 2.45 petang, 20 Jun 2016.

Mohd Suffian didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 April ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Terdahulu, dalam mahkamah yang sama, seorang bekas pembantu penguat kuasa MPSJ mengaku tidak bersalah atas tiga dakwaan menerima rasuah RM3,000 daripada pengurus sebuah pusat urut dan spa, dua tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Shah Fitri Abd Salim, 30, yang ketika itu bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Zon Puchong menerima suapan RM600 daripadaseorang wanita dikenali sebagai Chris, supaya tidak menyita Pusat Urut Shui Xian Beauty and Spa yang beroperasi tanpa lesen pihak berkuasa tempatan.

Shah Fitri didakwa melakukan perbuatan tersebut di stesen minyak Petron Bandar Puchong Jaya kira-kira jam 3.10 petang, 25 Mei 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM800 daripada wanita sama di hadapan Restoran Al-Mehraj, Bandar Puteri Puchong pada 1 Julai 2015 kira-kira 11.55 malam supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas pusat urut dan spa tanpa lesen itu.

Shah Fitri turut didakwa menerima suapan RM1,600 sekali lagi daripada wanita sama atas tujuan sama di hadapan Restoran Al-Mehraj, Bandar Puteri Puchong pada pukul 6.23 petang, 16 Okt 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Rozilah membenarkan tertuduh diikaat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 24 April ini.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pembantu penguat kuasa MPSJ, Muah Pudali Shukor, 37, mengaku tidak bersalah apabila didakwa bersama-sama Shah Fitri menerima rasuah RM800 supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas pusat urut dan spa terbabit.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Restoran Al-Mehraj, Bandar Puteri Puchong pada pukul 7.15 malam, 30 Julai 2015.

Bagi kesalahan itu, Muah Pudali dan Shah Fitri didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Rozilah menetapkan ikat jamin RM8,000 bagi Muah Pudali manakala Shah Fitri pula RM5,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 24 April ini. — Bernama

Advertisement