Anda di sini

Makam Jesus Christ di Baitulmaqdis dipulihara lanjut

Advertisement
 Para pelawat berbaris berhampiran Edicule di Gereja Makam Jesus Christ di Kota Lama Baitulmaqdis, kelmarin. — Gambar Reuters
INDAH: Para pelawat berbaris berhampiran Edicule di Gereja Makam Jesus Christ di Kota Lama Baitulmaqdis, kelmarin. — Gambar Reuters

BAITULMAQDIS: Makam di mana Jesus Christ dipercayai dikebumikan dirasmikan sekali lagi selepas kerja pemuliharaan selama sembilan bulan dalam upacara yang amat dinanti-nantikan semalam.

Makam tersebut yang turut memuatkan Edicule abad ke-19 yang penuh dengan ukiran, merupakan satu bahagian penting Gereja Makam Jesus Christ di Kota Lama Baitulmaqdis.

Bagaimanapun penziarah yang melawatnya dan asap lilin selama berabad-abad menyebabkan warnanya pudar dan berjelaga.

Sebahagiannya juga merekah, dengan amaran strukturnya tidak kukuh dan menimbulkan risiko kepada jutaan penziarah yang melawat tapak tersebut setiap tahun.

Rejim Israel menutupnya seketika pada 2015 ekoran kebimbangan keselamatan.

Selepas pengubahsuaian bernilai AS$3.7 juta (RM16.7 juta) yang diketuai tiga mazhab Kristian utama yang berkongsi gereja tersebut, makam tersebut dipulihkan keadaan asalnya termasuk warna kuning kemerahan yang indah.

Kubur itu dibuka semula secara rasmi semalam dalam satu upacara di Baitulmaqdis yang diketuai pemimpin agama dan penderma.

Sebelum ini, tugu ini hitam,” kata ketua projek pengubahsuaian Antonia Moropoulou di lokasi.

Ini adalah warna sebenar tugu ini, warna harapan.”

Tidak seperti bahagian lain gereja berkenaan yang diubah suai antara 1960-an hingga 1990-an, Edicule diabaikan.

Moropoulou menjelaskan mereka sudah membuka, membersih dan mengubah suai hampir seluruh Edicule termasuk tiang besar, kubah atas dan kubah dalaman.

Sebuah tingkap dipasang untuk membolehkan penziarah melihat batu yang tidak dilitupi apa-apa dalam gua pengebumian purba itu buat pertama kali.

Kekuatan struktur baharu bermakna kandang perlindungan yang dipasang 70 tahun lalu oleh pihak British tidak lagi diperlukan.

Oktober lalu mungkin waktu paling dramatik dalam kerja pengubahsuaian itu apabila gua yang dipercayai makam Jesus dibuka buat pertama kali sejak berabad-abad lamanya.

Bidur marmar dialih untuk mengukuhkan lagi gua tersebut.

Mereka menjumpai satu bidur atas yang bertarikh dari era Perang Salib, yang menunjukkan makam itu tidak dibuka selama 700 tahun, kata Moropoulou.

Di bawah mereka menjumpai satu lagi bidur dari era Constantine Agung, maharaja yang memulakan peralihan empayar Romawi kepada agama Kristian pada abad keempat Masihi.

Apabila kami membuka bidur-bidur tersebut, kami menemui pertukangan batu dalaman, semua lapisan sejarah dari zaman Constantine hingga ke zaman Byzantine, Perang Salib dan Renaissance,” kata Moropoulou.

Sebahagian orang Kristian percaya Jesus Christ dimakamkan di Makam Taman di luar tembok Kota Lama Baitulmaqdis, tetapi Moropoulou berkata penemuan mereka menyokong Sepulchre sebagai lokasinya.

Ditanya sama ada bidur tersebut menyokong pertikaian bahawa Jesus Christ dimakamkan di sana, beliau menyifatkan perkara tersebut bukan sesuatu yang harus diperdebatkan.

Kerja itu bukan penamat kerja pengubahsuaian gereja berkenaan.

Samuel Aghoyan, ketua penjaga Gereja Armenia di makam tersebut yang turut menaja bersama projek berkata, selepas pengubahsuaian Edicule kelihatan seperti satu bangunan baharu.

Aghoyan berkata, mereka ada rancangan tentatif untuk memperbaiki bilik bawah tanah Edicule, selain seluruh tingkat gereja.

Kerja sedemikian memerlukan anggaran AS$6 juta (RM27 juta).

Mazhab-mazhab Greek Orthodox, Armenia dan Roman Katolik sama-sama menjaga gereja itu, tetapi pertikaian di antara ketiga-tiga mazhab menangguhkan kerja pengubahsuaian selama berdekad-dekad.

Aghoyan tidak menafikan ketegangan antara ketiga-tiga gereja tersebut namun menyifatkannya sebagai perkara biasa.

Kami tidak saling menyukai tetapi kami saling menyayangi,” katanya sambil tersenyum. — AFP

Advertisement