Anda di sini

Korea Selatan pulangkan 28 askar kepada China

Advertisement
 Duta China ke Korea Selatan Qui Guohong menutup keranda mengandungi tulang-temulang askar China dengan bendera kebangsaan semasa upacara di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Incheon, semalam. — Gambar AFP
PENGHORMATAN: Duta China ke Korea Selatan Qui Guohong menutup keranda mengandungi tulang-temulang askar China dengan bendera kebangsaan semasa upacara di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Incheon, semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Seoul semalam menghantar pulang ke negara asal mereka tulang-temulang 28 askar China yang terkorban dalam Perang Korea, walaupun perbalahan hangat sedang berlaku di antara kedua-dua negara berhubung sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS).

Sebaris pengawal kehormat China yang berarak menerima kotak-kotak kayu yang disapu pengilat, masing-masing mengandungi satu set tulang-temulang, dari rakan sejawat mereka dalam satu upacara di lapangan terbang Incheon.

Beijing mengerahkan jutaan askar dalam konflik 1950-53, untuk menyelamatkan negara baharu Korea Utara daripada ditewaskan oleh Korea Selatan dan tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diketuai AS.

Lebih 180,000 askar China dianggarkan terkorban dalam peperangan berkenaan.

Kami menghargai persahabatan dan semangat muhibah yang telah ditunjukkan oleh media dan rakyat Korea Selatan berhubung penghantaran pulang tulang-temulang askar China,” Sun Shaocheng, naib menteri hal ehwal awam Chia, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Yonhap.

Sebanyak 569 set tulang-temulang sudah dihantar pulang sejak kedua-dua negara mencapai persetujuan tiga tahun lalu, katanya.

Pemindahan terbaharu dibuat walaupun Seoul dan Beijing tidak sependapat mengenai penggunaan bateri Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal (THAAD) AS di Korea Selatan, yang dilihat oleh China sebagai melemahkan keupayaannya sendiri.

Beijing telah mengambil beberapa langkah yang dilihat sebagai pembalasan ekonomi, termasuk penutupan kedai milik Korea Selatan dan larangan ke atas kumpulan pelancongan yang pergi ke negara jirannya.

Seoul dan Washington berkata sistem itu semata-mata untuk mempertahankan diri daripada ancaman misil dan nuklear Korea Utara.

Kementerian pertahanan Korea Selatan mengakui kesukaran wujud dalam hubungan Korea Selatan-China dalam proses untuk menyelesaikan isu misil dan nuklear Korea Utara tetapi berkata ia meneruskan penghantaran pulang itu daripada perspektif kemanusiaan. — AFP

Advertisement