Anda di sini

Brussels ‘membisu’ setahun pascaserangan

Advertisement

Raja dan Ratu Belgium hadiri upacara peringatan penuh emosi bagi mangsa terorisme

 Philippe diiringi Mathilde sebaik tiba di Lapangan Terbang Zaventem di Brussels, semalam untuk menghadiri upacara peringatan tahun pertama serangan berkembar yang mengejutkan Belgium. — Gambar Reuters
SEBAK: Philippe diiringi Mathilde sebaik tiba di Lapangan Terbang Zaventem di Brussels, semalam untuk menghadiri upacara peringatan tahun pertama serangan berkembar yang mengejutkan Belgium. — Gambar Reuters

BRUSSELS: Belgium bertafakur seketika semalam untuk menandakan ulang tahun pertama serangan bom Islamic State (IS) di Brussels, bagi memulakan hari acara yang emosional bertujuan untuk menunjukkan bahawa pusat Eropah tetap berdiri teguh.

Raja Philippe dan Ratu Mathilde, yang kelihatan suram di sisi Perdana Menteri Belgium, Charles Michel, dan menteri lain, berbaris dengan senyap pada jam 7.58 pagi di luar Lapangan Terbang Zaventem yang diubah suai untuk menandakan waktu sebenar dua pengebom nekad membunuh 16 orang dan mencederakan ramai lagi di lokasi tersebut.

Sewaktu acara di lapangan terbang, seorang wanita menggenggam bunga mawar putih manakala Eddy Van Calster, saudara ejen pendaftaran masuk lapangan terbang Fabienne Van Steenkiste, yang terkorban dalam serangan itu, memainkan balada rock sebagai penghormatan.

Sambil diperhatikan oleh ratusan orang termasuk ahli keluarga mangsa dan pekerja penyelamat, seorang pegawai lapangan terbang membaca semua nama mangsa.

22 Mac 2016 akan selama-lamanya berada dalam hati kami, kami berdiri di sini bersatu,” kata pegawai tersebut.

Kerabat diraja akan mengetuai waktu bertafakur kedua pada jam 9.11 pagi di stesen bawah tanah Maalbeek untuk menandakan saat pengebom nekad ketiga membunuh 16 orang lagi dalam sebuah kereta api yang sesak.

Lebih 320 orang cedera dalam kedua-dua serangan.

Dalam tindakan cabaran dan solidariti, acara di Maalbeek disusuli tepukan dan ‘bunyi seminit’ apabila kereta api, trem dan bas berhenti untuk memperingati mangsa serangan keganasan terburuk dalam sejarah negara itu.

Raja dan ratu kemudian merasmikan sebuah tugu peringatan keluli baharu di pusat institusi Kesatuan Eropah yang berpangkalan di Brussels.

Kemudian, kanak-kanak dari sekolah di Molenbeek, kawasan majoriti Islam dari mana kebanyakan penyerang berasal, bertemu dengan mangsa serangan untuk menunjukkan solidariti.

Tiga perarakan oleh penduduk Brussels bertemu di Place de La Bourse yang diubah menjadi sebuah tempat peringatan spontan yang dipenuhi bunga selepas serangan pada tahun lepas.

Akhir sekali mercu tanda paling terkenal di Brussels, patung seorang kanak-kanak kecil Manneken Pis, akan dikenakan pakaian anggota bomba untuk memuji usaha jabatan penyelamat.

Penyiasat berkata letupan itu dilancarkan oleh satu rangkaian yang turut mendalangi serangan di Paris pada November 2015, di mana 130 orang terbunuh, dan bertindak atas arahan perintah tinggi IS.

Penyerang pelarian dari Paris, Salah Abdeslam, ditembak dan ditangkap dalam satu serbuan polis di Molenbeek pada 18 Mac 2016, yang menimbulkan spekulasi tentang bagaimana dia berjaya kembali ke Belgium dan tidak dapat dikesan selama hampir empat bulan.

Penangkapannya dipercayai menakutkan anggota sel lain untuk menukar rancangan dan, daripada melancarkan serangan baharu ke atas Perancis, mereka menyasari lapangan terbang dan metro di Brussels hanya empat hari kemudian, kata penyiasat.

Ibrahim El Bakraoui dan Najim Laachraoui bertindak di lapangan terbang manakala saudara Bakraoui meletupkan bomnya di stesen metro.

Penyerang lapangan terbang ketiga yang gagal meletupkan alatnya, Mohamed Abrini, ditangkap di Brusses hampir sebulan selepas serangan berlaku. — AFP

Advertisement