Anda di sini

AS, Britain sorot penerbangan Timur Tengah

Advertisement

Mahu cegah teroris, barangan elektronik seperti komputer riba tidak dibenarkan dalam kabin

 Seorang penumpang membeli tiket di kaunter Emirates Airline berlatarbelakangkan skrin amaran barangan berbahaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles di Los Angeles, California kelmarin. — Gambar AFP
DIPERKETAT: Seorang penumpang membeli tiket di kaunter Emirates Airline berlatarbelakangkan skrin amaran barangan berbahaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles di Los Angeles, California kelmarin. — Gambar AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Britain kelmarin melarang alat elektronik lebih besar dibawa masuk ke kabin penumpang dalam penerbangan dari beberapa lapangan terbang di Turki, Timur Tengah dan Afrika Utara.

Pegawai Amerika memberi amaran bahawa pelampau sedang mencari cara yang inovatif untuk menyerang pesawat penerbangan dengan alat letupan lebih kecil yang disembunyi dalam alat elektronik pengguna yang lebih besar daripada telefon pintar.

AS sudah memberi tempoh kepada sembilan syarikat penerbangan dari lapan negara sehingga hujung minggu ini untuk memaklumkan penumpang ke Amerika agar membungkus komputer riba, tablet dan konsol permainan mudah alih dalam bagasi kargo mereka.

Tiada syarikat penerbangan AS yang terjejas, tetapi larangan itu menjejaskan penumpang bagi kira-kira 50 penerbangan sehari dari hab-hab paling sibuk dalam dunia Arab dan tiga syarikat penerbangan Teluk yang baru-baru ini muncul sebagai gergasi: Emirates, Etihad dan Qatar Airways.

Britain mengeluarkan perintah yang sama, diguna pakai kepada penerbangan langsung dari senarai negara yang lebih pendek. Negara lain dijangka mengikuti langkah mereka.

Pegawai Kanada dan Perancis sedang menimbang untuk melaksanakan langkah yang sama, tetapi Jerman, Australia dan New Zealand berkata mereka tidak menimbang larangan buat masa sekarang.

Reaksi daripada kerajaan dengan lapangan terbang yang terjejas umumnya tidak menonjol, dan Emirates mengubah situasi itu menjadi satu iklan ringan untuk memuji kebaikan hiburan dalam penerbangannya, bertajuk: “Siapa memerlukan komputer riba?”

Namun satu kerajaan, Turki, mengecam perintah itu dan menuntut agar ia ditarik balik atau dikurangkan.

Kami khususnya menegaskan bagaimana ini tidak akan memanfaatkan penumpang dan langkah sebaliknya atau langkah lebih lembut harus digunakan,” kata Menteri Pengangkutan Ahmet Arslan kepada pemberita.

Pegawai AS berkenaan enggan mengulas lanjut tentang serangan yang telah menimbulkan kebimbangan, tetapi satu insiden disebut dari Februari tahun lepas di mana suspek yang disyaki anggota Islamis Somali meletupkan lubang di tepi badan jet penumpang Daallo Airlines dengan sebuah alat kecil. Hanya pengebom sahaja terbunuh dan pesawat mendarat dengan selamat.

CNN memetik seorang pegawai AS sebagai berkata larangan itu dipercayai ada kaitan dengan ancaman yang dibuat oleh Al-Qaeda di Semenanjung Arab atau AQAP.

ABC News melaporkan maklumat perisikan baharu menunjukkan sekutu Islamic State sedang merancang cara untuk menyeludup alat elektronik yang dimuat dengan bahan letupan ke atas pesawat yang menuju ke AS.

Lapangan terbang yang terjejas disebabkan oleh larangan itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Permaisuri Alia di Amman, Jordan; Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah di Mesir; Ataturk di Istanbul, Turki; Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, Arab Saudi; Lapangan Terbang Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait; Lapangan Terbang Antarabangsa Mohammed V di Casablanca, Maghribi; Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar; dan lapangan terbang di Dubai dan Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu.

Larangan AS akan menjejaskan penerbangan yang dikendalikan oleh Royal Jordanian, EgyptAir, Turkish Airlines, Saudi Airlines, Kuwait Airways, Royal Air Maroc, Qatar Airways, Emirates dan Etihad Airways.

Larangan British hanya melibatkan enam negara, di mana dua daripadanya, Lubnan dan Tunisia, tidak di-paparkan dalam senarai AS.

Perubahan itu menjejaskan enam syarikat penerbangan British, termasuk British Airways dan EasyJet, selain lapan syarikat penerbangan asing.

Syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk menguatkuasakan larangan kabin, dan jika mereka gagal berbuat demikian, mereka boleh kehilangan hak untuk mengendalikan laluan penerbangan ke AS. — AFP

Advertisement