Anda di sini

Sebabkan kematian isteri, lelaki kekal dipenjara 20 tahun

Advertisement

KOTA KINABALU: Padah terpaksa ditanggung oleh seorang lelaki apabila kekal dikenakan penjara 20 tahun, atas kesalahan menyebabkan kematian isterinya, selepas rayuannya diketepikan Mahkamah Rayuan di sini kelmarin.

Hakim Datuk Lim Yee Lan, Dato Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara membuat keputusan itu terhadap Mohd Asmil Abbas, 39, yang disabitkan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Dalam penghakiman itu, ketiga-tiga korum hakim tidak mendapati apa-apa alasan yang munasabah untuk membenarkan rayuan berkenan dan menambah, segala faktor sudah diambil kira oleh mahkamah rendah sebelum menjatuhkan hukuman.

Pada 3 Julai 2015, Mohd Asmil dikenakan penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Sirasah Musa, 24, pada 1 September 2013 jam 5 petang, di sebuah rumah, Kinarut, di daerah Papar.

Hukuman yang diperuntukkan, boleh dikenakan penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 29 April tahun lalu, perayu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi dan keputusan mahkamah rendah dikekalkan.

Terdahulu, ketika rayuan, Mohd Asmil menyatakan, pertengkaran antara dia dengan isterinya adalah perkara yang tidak dijangka.

“Saya manusia biasa yang terlalu menurut nafsu. Sepanjang mengikuti program pemulihan, saya sudah insaf dan berdoa kepada Tuhan agar orang luar tidak memandang seorang kepada banduan seperti kami.

“Saya minta mahkamah mengambil kira tahap kesihatan saya dan ibu, kerana kami menghidap penyakit kencing manis. Manakala ibu saya akan menjalani pembedahan,” katanya.

Mohd Asmil juga mempunyai lima anak dan menyatakan mahu melihat dan menjaga anak-anaknya.

Timbalan Pendakwaraya Tetralina Ahmed Fauzi berkata, hukuman yang dikenakan tidak terlalu tinggi serta sesuai dengan fakta dan kes.

“Mangsa isteri kepada perayu hanya berusia 24 tahun. Dalam kes ini, perayu memukul mangsa sehingga mati dan mengalami kecederaan teruk di bahagian hati (hati hancur).

“Sebagai suami, perayu harus melindungi isterinya. Dalam fakta kes ada menyebut, walaupun perayu membawa mangsa ke hospital, perayu memperkenalkan diri sebagai abang perayu,” katanya.

Menurutnya, perlakuan itu menunjukkan, perayu tidak insaf dan kejadian seumpama itu bukan yang pertama kali.

“Kita harapkan penjara 20 tahun akan memberikan keinsafan kepada perayu. Tiada alasan untuk mahkamah ini mengubah hukuman yang dikenakan sebelum ini,” katanya.

Advertisement