Anda di sini

Saman hak cipta: Mahkamah benarkan rayuan novelis

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam membenarkan tuntutan mahkamah hak cipta novelis Elias Idris terhadap penerbit filem Datuk Yusof Haslam dan dua yang lain berhubung kes saman berkaitan filem ‘Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam’.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Mary Lim Thiam Suan juga membenarkan permohonan Elias bagi perisytiharan bahawa ketiga-tiga responden telah melanggar hak cipta terpelihara novel beliau yang bertajuk ‘Aku Bohsia’ dan memerintahkan  responden membayar novelis itu ganti rugi yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi.     

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman novelis itu, selepas membenarkan rayuannya.

Hakim Abang Iskandar yang mengetuai panel itu juga membenarkan rayuan Elias untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar kos RM100,000 kepada Yusof, anak lelakinya, pengarah serta pelakon Syamsul dan syarikat penerbitan filem mereka, Skop Production Sdn Bhd dalam tuntutan balas terhadap Elias bagi dakwaan memfitnah.

Hakim juga memberikan lima relif yang dipohon Elias dalam pernyataan tuntutannya termasuk perisytiharan bahawa ketiga-tiga responden telah melanggar hak cipta novel beliau dan untuk bayaran ganti rugi.

Beliau juga mengeluarkan perintah injunksi seperti yang dipohon Elias, untuk menghalang responden, ejen mereka daripada terus menerbitkan, menyiarkan, mengedar dan menerbitkan semula filem itu tanpa kebenaran bertulis daripadanya.

Hakim Abang Iskandar juga mengeluarkan perintah bagi ketiga-tiga responden untuk memulangkan semua salinan dan barangan yang didakwa melanggar hak cipta, kepada Elias atau penamanya dan suatu perintah akaun untuk untuk mengenal pasti keuntungan yang diterima daripada pelanggaran hak cipta itu dan wang berkenaan dibayar kepada Elias termasuk dengan bayaran faedah.

Beliau juga memberikan RM40,000 kepada Elias sebagai kos perundangan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pada 24 Nov 2014, Elias 64, memfailkan saman terhadap Yusof, 62, atau nama sebenarnya Md Yusof Md Aslam; Syamsul, 32; dan Skop Production.

Yusof, Syamsul dan Skop Production kemudian memfailkan tuntutan balas terhadap Elias berhubung dua artikel fitnah dalam talian yang dimuat naik pada 7 Nov dan 16 Nov 2014.

Elias yang menerbitkan novel itu menggunakan nama pena Anne Natasha Nita, mendakwa terdapat banyak persamaan antara novelnya dan filem ketiga-tiga responden dari segi plot, watak dan mesej.

Dalam pernyataan pembelaan mereka yang difailkan 5 Jan 2015, Yusof yang terkenal melalui drama Gerak Khas, Syamsul dan Skop Production berkata mereka tidak pernah membaca atau mendengar mengenai novel itu dan menafikan menyalin novel itu untuk dijadikan filem mereka.

Skop Production menayangkan filem itu pada 2009.

Elias diwakili peguam K. Periasamy manakala responden diwakili peguam Aizul Rohan Anuar.

Di luar mahkamah, Aizul Rohan berkata beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan. — Bernama

Advertisement