Anda di sini

Pengecaman mayat Syed Alman Zain dilakukan isteri, rakan karib

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen semalam bahawa pengecaman mayat Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang meninggal dunia pada 1 Jun 2016, ketika menerima rawatan gigi, dilakukan oleh isterinya iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Pegawai Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Brickfield ASP Ezral Ezwani Abdul Mali berkata, pengecaman itu dilakukan di Bilik Mayat Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Selain isteri mangsa, pengecaman mayat juga dilakukan oleh rakan karib mangsa iaitu Datuk Faizal,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria.

Saksi keenam pendakwaan itu berkata demikian pada perbicaraan hari kedua kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) Dr Ting Teck Chin, yang didakwa menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa mendapatkan rawatan gigi.

“Selepas selesai proses pengecaman, saya telah memaklumkan perkara itu (kes kematian mengejut) kepada ketua polis daerah dan buka siasatan untuk jalankan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya yang ketika kejadian bertugas sebagai ketua polis Balai Polis Pantai.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa doktor pakar forensik yang menjalankan bedah siasat tidak menyatakan punca kematian mangsa.

Ezral Ezwani berkata pada 3 Jun 2016, beliau menerima tiga spesimen mengandungi dua sampel air kencing dan satu sampel darah milik mangsa daripada PPUM yang kemudiannya dibawa ke Balai Polis Travers.

Beliau juga memaklumkan bahawa kes kematian mengejut itu kemudiannya telah disiasat di bawah kes jenayah dan Pegawai Penyiasat ASP Yusmazatu Yahya Yusof dipertanggungjawab mengendalikan kes berkenaaan.                               

Pada 12 Ogos lalu, Dr Ting, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G di Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun lepas.

Dia yang diwakili peguam Dev Kumaraendran didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement