Anda di sini

Park akhirnya akur disoal siasat

Advertisement
 Seorang penyokong menunjukkan kolaj gambar Park (tengah), bapa dan ibunya di luar pejabat pendakwa raya di Seoul, semalam. — Gambar AFP
TETAP DISANJUNG: Seorang penyokong menunjukkan kolaj gambar Park (tengah), bapa dan ibunya di luar pejabat pendakwa raya di Seoul, semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Presiden Korea Selatan yang digulingkan Park Geun-hye disoal siasat pendakwa raya semalam atas skandal rasuah dan salah guna kuasa yang telah menjatuhkannya, selepas lenyap kelebihan eksekutif bagi mengelakkan mereka selama beberapa bulan ketika memegang jawatan.

Park memohon maaf kepada orang awam ketika tiba di pejabat pendakwa raya di Seoul, sambil menambah: “Saya akan menjalani siasatan dengan ikhlas.”

Presiden wanita pertama Korea Selatan, Park didakwa Parlimen pada Disember ketika jutaan berkumpul di jalanan menuntut beliau dipecat ekoran skandal meluas yang mendedahkan hubungan yang terlalu rapat di antara politik dan perniagaan di ekonomi keempat terbesar dunia itu.

Pemecatan beliau disahkan mahkamah awal bulan ini, sekali gus menamatkan karier politik seorang wanita yang membesar di istana presiden sebagai anak diktator yang disokong tentera Park Chung-hee.

Menjadi rakyat biasa sekali lagi, konvoi Park melalui kumpulan penyokong melambaikan bendera yang berbaris di luar kediamannya, sebahagiannya berbaring di atas jalan raya dalam cubaan menyekat beliau keluar.

Setiap inci perjalanan dirakam secara langsung di televisyen, di mana jurukamera mengekori kenderaan dengan menaiki kereta dan motosikal, dan di kawasan yang ditetapkan di sepanjang laluan.

Park berdepan dua pendakwa raya dan seorang penyiasat, ditemani salah seorang peguamnya, namun prosedur standard menghalangnya keluar, hanya membenarkan rundingan semasa rehat yang boleh menjadi satu isu bagi beliau.

Wanita berusia 65 tahun itu mempunyai reputasi amat cerewet dan sebagai presiden dilaporkan enggan menggunakan tandas yang telah digunakan oleh orang lain, dengan kakitangannya menyatakan beliau berkeras agar tandas itu digantikan sebelum beliau tiba bagi kunjungan rasmi.

Park didakwa bersubahat dengan rakan rapatnya di tengah skandal itu, yang turut melihat pewaris Samsung Lee Jae-yong ditangkap dan didakwa atas rasuah.

Rakannya Choi Soon-sil dituduh menggunakan hubungan dan pengaruhnya dengan presiden bagi memaksa beberapa firma tempatan termasuk Samsung untuk ‘menderma’ hampir AS$70 juta kepada yayasan bukan berkeuntungannya yang kemudian digunakan untuk kepentingan peribadi.

Park dituduh menawarkan kebenaran kerajaan kepada taikun perniagaan yang mem-bantu Choi, termasuk Lee.

Bekas pemimpin itu turut dituduh membiarkan Choi, yang tiada gelaran rasmi atau kebenaran keselamatan, menguruskan lingkungan luas hal ehwal negara termasuk pencalonan pegawai tinggi atau diplomat.

Park turut dikatakan memaksa pembantunya membuat senarai hitam beribu-ribu artis yang telah mengkritiknya agar berhenti menawarkan subsidi negara bagi projek mereka.

Pendakwa raya menuduh beliau mendesak perniagaan tempatan termasuk Hyundai dan syarikat pengeluar keluli Posco agar memberikan urus niaga mewah kepada beberapa firma atau individu yang dikaitkan dengan Choi.

Hubunngan di antara kedua-dua wanita itu bermula dengan hubungan Park dengan mendiang ayah Choi, Choi Tae-min, pegawai keagamaan yang menjadi mentor rapat Park sehingga kematiannya pada 1994.

Pengasas kumpulan menyerupai kultus yang pernah berkahwin sebanyak tujuh kali itu dan 40 tahun lebih tua daripada Park turut dituduh menggunakan hubungannya dengan Park bagi mendapatkan wang daripada perniagaan tempatan selama beberapa dekad.

Bekas presiden beberapa kali menafikan sebarang kesalahan dan mempersalahkan Choi kerana menyalahgunakan persahabatan mereka.

Choi juga dalam perbicaraan atas pelbagai dakwaan termasuk salah guna kuasa dan penyelewengan.

Park memenangi pilihan raya presiden pada 2012 hasil populariti mendiang ayahnya di kalangan pengundi konservatif yang berusia yang telah mendapat manfaat daripada perkembangan pesat di bawah pemerintahan kuku besinya dari tahun 1961 hingga 1979, namun skandal menyebabkan sokongan kebalnya sebelum ini jatuh.

Pilihan raya bagi memilih penggantinya akan berlangsung pada 9 Mei dengan Moon Jae-in, lawannya pada 2012 dan seorang bekas pemimpin pembangkang liberal Parti Demokratik, mengetuai tinjauan pendapat dengan kadar populariti besar. — AFP

Advertisement