Anda di sini

Menyembah bumi

Advertisement
 Bahagian dapur rumah panjang yang mengalami runtuhan teruk.
RUNTUH: Bahagian dapur rumah panjang yang mengalami runtuhan teruk.

BINTULU: Seramai 86 penduduk dari 32 keluarga di Rumah Empaling Tuan, Sungai Sengian Labang terjejas selepas rumah panjang mereka tiba-tiba runtuh dalam insiden gelongsoran dan mendapan tanah yang berlaku pada jam 5.28 petang kelmarin.

Menurut sumber, difahamkan sebelum kejadian penduduk terdengar bunyi tiang-tiang rumah panjang patah dipercayai akibat perubahan struktur tanah di kawasan terbabit.

Bimbang dengan keadaan itu, penduduk serta-merta melarikan diri ke kawasan selamat untuk mengelak sesuatu yang buruk menimpa mereka sementara menunggu bantuan tiba.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hata Gobel, pasukannya yang diketuai Pegawai Bomba Clarence Andrea bergegas ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

“Pemeriksaan awal pihak kita mendapati rumah panjang berkenaan sememangnya tidak selamat untuk didiami kerana hampir kesemua tiangnya terutama di bahagian dapur telah runtuh dan patah,” jelasnya.

Buat sementara waktu, katanya, kesemua penduduk dipindahkan ke Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sengian, Labang sementara menungggu siasatan lanjut dijalankan berhubung gelongsoran tanah yang menyebabkan kerosakan teruk pada strukur rumah panjang terbabit.

Mujurlah, katanya, insiden itu tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana penduduk sempat menyelamatkan diri masing-masing daripada ditimpa oleh struktur rumah panjang yang runtuh.

“Pihak kita bersama pasukan keselamatan lain akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa terutama perubahan struktur tanah di tapak rumah panjang terjejas.

“Ini bagi memastikan tiada sebarang insiden terutama melibatkan penduduk yang hanya akan dibenar pulang sama ada untuk mengambil harta benda atau memperbaiki struktur rumah yang rosak setelah kondisi tanah disahkan selamat,” tambah beliau.

Difahamkan, pihak SESCo turut memutuskan bekalan elektrik ke rumah panjang berkenaan atas faktor keselamatan dan mengelak berlakunya litar pintas.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Pegawai Daerah Sebauh Desmond Douglas Jerukan dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Jenny Bangga antara yang terawal sampai ke lokasi kejadian untuk menjenguk dan menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas.

 Keadaan dapur salah sebuah bilik rumah panjang yang mengalami kerosakan teruk.
TERJEJAS: Keadaan dapur salah sebuah bilik rumah panjang yang mengalami kerosakan teruk.
 Struktur tandas yang runtuh akibat mendapan tanah.
ROSAK TERUK: Struktur tandas yang runtuh akibat mendapan tanah.
 Sebahagian penduduk yang melarikan diri ke kawasan di hadapan rumah panjang.
MENYELAMATKAN DIRI: Sebahagian penduduk yang melarikan diri ke kawasan di hadapan rumah panjang.
 Keadaan tiang rumah panjang yang senget dan menunggu masa untuk rebah.
TIDAK SELAMAT: Keadaan tiang rumah panjang yang senget dan menunggu masa untuk rebah.
  • oleh
  • Advertisement