Anda di sini

Datuk Seri antara 12 lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan merusuh

Advertisement
 Sebahagian daripada 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merusuh Sabtu lalu dibawa ke Mahkamah Majistret di George Town semalam. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Sebahagian daripada 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merusuh Sabtu lalu dibawa ke Mahkamah Majistret di George Town semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Seramai 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan merusuh di sebuah pusat hiburan di sini Sabtu lepas.

Mereka adalah Datuk Seri Loh Peng Kok, 35, Tan Ban Chuan, 46; Ng Hao Ning, 29; Muhamad Naim Abdull Rahman, 18; J. Shatheeswaran, 24; N. Kartiga, 26; Curtis Veeran, 19; Tan Teong Boon, 24; Teoh Chee Seng, 36; Siow Peir Sheng, 24; Teoh Kim Teik, 20; dan Tan Kai Chong, 21.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu secara bersama dengan beberapa orang yang masih bebas di Bilik E3 Pusat Hiburan Suncity KTV Mindland di Jalan Burma di sini, pada jam 3.58 pagi 18 Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin tidak menawarkan sebarang jaminan ekoran kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (tidak boleh diikat jamin), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun peguam yang mewakili kesemua tertuduh, RSN Rayer memohon budi bicara mahkamah agar membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap seorang, memandangkan anak guamnya mempunyai keluarga untuk ditanggung.

Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes. 

Semua tertuduh membayar ikat jamin tersebut. — Bernama

Advertisement