Anda di sini

Tiga disabit cuba bunuh Presiden Honduras

Advertisement

Tindakan Hernandez ekstradisi 13 ketua dadah ke AS untuk didakwa punca dendam kartel

TEGUCIGALPA: Mahkamah mensabitkan seorang lelaki Mexico dan dua rakyat tempatan merancang membunuh Presiden Honduras Juan Orlando Hernandez, yang telah mengekstradisi lebih 12 ketua dadah sejak memegang jawatannya, menurut jurucakap perundangan dan pengawal keselamatan semalam.

Rakyat Mexico Jesus Estrada serta dua rakyat Honduras Victor Flores dan Jose Contreras, disabitkan merancang untuk membunuh pemimpin Honduras itu dalam satu skim pada September 2014, menurut jurucakap mahkamah agung Melvin Duarte.

Flores dan Contreras turut disabitkan atas konspirasi jenayah.

Tiga orang lagi, termasuk seorang rakyat Mexico, didapati tidak bersalah, tambah Duarte.

Lelaki-lelaki terbabit telah ditangkap di tempat berlainan pada 2015.

Mereka disabitkan Sabtu lepas dan hukuman mereka akan diputuskan pada 24 April, tambah  Duarte.

Perancang berharap untuk membunuh Hernandez pada 2014 ketika beliau dijangka mendarat dengan helikopter di kampung halamannya di Gracias, 200 kilometer barat Tegucigalpa,  menurut sumber keselamatan.

Skim tersebut, yang turut melibatkan rakyat Colombia dan Guatemala dikaitkan dengan kartel Valle bersaudara yang dibubarkan, digagalkan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Honduras, menurut sumber.

Mereka telah merancang untuk menyerang presiden ekoran peperangan (terhadap kumpulan dadah) yang dilancarkan sejak beliau menjawat jawatannya pada  2014,” menurut pegawai keselamatan yang tidak diarahkan bercakap secara umum mengenai perkara tersebut.

Sekurang-kurangnya 13 ketua dadah telah diekstradisi ke AS untuk berdepan dakwaan sejak  Hernandez memegang jawatannya.

Lima daripadanya ialah ketua kartel Val bersaudara yang dikaitkan dengan kartel Sinaloa di Mexico, sebelum ini dikawal Joaquin ‘Chapo’ Guzman yang telah diekstradisi dari Mexico ke AS pada  Januari.

Hukuman atas cubaan untuk membunuh presiden adalah penjara maksimum enam tahun, sementara dakwaan konspirasi jenayah boleh berdepan lebih 10 tahun, menurut akta perundangan Honduras. — Reuters

Advertisement