Anda di sini

Skandal daging buruk jejaskan Brazil

Advertisement

Temer pikul misi serius untuk beri jaminan kepada dunia ia hanya kes terpencil

 Temer (tengah), Menteri Pertanian Blairo Maggi (kiri) dan Menteri Perdagangan dan Industri Marco Pereira (kanan) bertemu dengan duta-duta dari negara yang mengimport daging Brazil di Istana Planalto di Brasilia, kelmarin. — Gambar AFP
KEKANG SKANDAL: Temer (tengah), Menteri Pertanian Blairo Maggi (kiri) dan Menteri Perdagangan dan Industri Marco Pereira (kanan) bertemu dengan duta-duta dari negara yang mengimport daging Brazil di Istana Planalto di Brasilia, kelmarin. — Gambar AFP

BRASILIA: Brazil cuba meyakinkan dunia kelmarin bahawa industri dagingnya yang besar tidak terancam, malah Presiden Michel Temer menjemput duta untuk makan malam stik, di sebalik dakwaan pengeksport korup menjual produk tercemar.

Temer tersenyum ketika menjemput diplomats ke restoran daging tradisional ‘churrascaria’ dan berkata: “Sekiranya anda menerima jemputan ini, kami pasti amat gembira.”

Sejumlah 19 daripada 33 duta yang bertemu beliau menerima tawaran itu.

Namun Temer memikul misi serius menenangkan skandal yang mengancam reputasi negara pengeksport daging lembu dan unggas terbesar di dunia itu.

Skandal terbongkar pada Jumaat lepas apabila pihak polis berkata hasil siasatan selama dua tahun mendapati pengeluar daging utama merasuah inspektor kesihatan untuk mengesahkan daging buruk sebagai selamat untuk dimakan.

Sekurang-kurangnya 30 orang telah ditahan apabila polis menyerbu lebih 12 loji pemprosesan dan menge-luarkan 27 waran tangkap.

Sebuah loji pemprosesan daging unggas kendalian syarikat multinasional BRF dan dua loji pemprosesan daging lembu yang dijalankan syarikat tempatan Peccin telah ditutup, menurut Kementerian Pertanian.

Daging Brazil dieksport ke lebih 150 negara, dengan pasaran utama seperti Arab Saudi, China, Singapura, Jepun, Rusia, Belanda dan Itali.

Jualan pada tahun lepas mencecah AS$5.9 bilion dalam industri unggas dan AS$4.3 bilion dalam industri lembu, menurut data kerajaan Brazil.

Dalam ucapannya di hadapan para duta, Temer mengakui skandal tersebut telah menimbulkan kebimbangan besar.

Namun beliau menegaskan daging buruk dan sijil palsu berlaku hanya dalam sejumlah kecil perniagaan dan tidak mewakili satu masalah yang lebih meluas.

Menyifatkan sistem pemeriksaan kualiti produk Brazil sebagai antara yang paling disegani di dunia, Temer berkata: “Saya ingin menegaskan keyakikan kami terhadap kualiti produk kami.”

Pada tahun lepas, 853,000 konsainmen produk haiwan telah dieksport namun cuma 184 daripadanya dianggap pengimport sebagai melanggar peraturan, tegasnya lanjut.

Terdahulu, setiausaha perlindungan pertanian Luis Eduardo Pacifici Rangel memberitahu para wartawan bahawa tiada risiko ke atas populasi ataupun eksport.

BRF turut membela diri dengan menyasari dakwaan kertas kadbod dicampur dalam produk ayam.

Tiada sebarang kadbod dalam produk BRF.

Terdapat satu salah faham yang besar dalam rakaman audio polis,” menurut kenyataan syarikat.

Setakat ini tiada laporan mengenai pengguna yang jatuh sakit akibat amalan yang didakwa itu.

Bagaimanapun Brazil khuatir skandal tersebut akan menjejaskan cubaan untuk merundingkan perjanjian dagangan antara kumpulan Mercosur dari Amerika Selatan dengan Kesatuan Eropah (EU).

Pihak berkuasa belum lagi memperincikan dari mana produk tercemar itu ditemui, tetapi menyatakan bahawa dalam sesetengah kes bahan yang boleh menyebabkan kanser digunakan untuk menyembunyikan bau daging buruk.

Selain firma gergasi BRF yang memiliki jenama Sadia dan Perdigao, syarikat yang turut disiasat adalah JBS, peneraju dunia dalam jualan daging lembu dan pemilik jenama Big Frango, Seara Alimentos dan Swift.

JBS mengambil iklan halaman penuh dalam akhbar O Globo untuk menyatakan pejabat persekutuan yang menjalankan siasatan tidak menyebut sama sekali tentang masalah kesihatan yang berpunca daripada produk JBS.

Kumpulan BRF turut menjalankan iklan yang sama dengan menyatakan produknya langsung tidak mempunyai risiko kesihatan, manakala iklan yang memaparkan pelakon Robert De Niro mengesahkan kualiti produk Seara JBS kerapkali dimainkan di televisyen Brazil. — AFP

Advertisement