Anda di sini

Mungkin bukan fenomena semula jadi

Advertisement

Nelayan bimbang insiden hidupan marin mati mungkin disebabkan mengebom ikan

ANGKARA MANUSIA?: Kamberi menunjukkan laporan akhbar The Borneo Post pada Ahad lalu sambil memberitahu beliau dan rakan-rakan nelayan lain khuatir punca fenomena tersebut mungkin disebabkan aktiviti mengebom ikan.
ANGKARA MANUSIA?: Kamberi menunjukkan laporan akhbar The Borneo Post pada Ahad lalu sambil memberitahu beliau dan rakan-rakan nelayan lain khuatir punca fenomena tersebut mungkin disebabkan aktiviti mengebom ikan.

MIRI: Beberapa nelayan melahirkan kebimbangan dan mendedahkan kemungkinan beberapa hidupan marin mati dan terdampar di pantai Luak baru-baru ini disebabkan aktiviti mengebom ikan dan bukan sekadar fenomena semula jadi seperti perubahan monsoon.   

Berdasarkan keadaan hidupan marin yang mati seperti ikan lumba-lumba spesies ‘Finless Porpoise’, ikan, kerang-kerangan dan yang bercengkerang ditemui mati terdampar di pantai sini pada 17 Mac lalu, nelayan percaya ia mungkin disebabkan oleh sesuatu yang dahsyat, lebih daripada fenomena alam semula jadi.

Pelbagai jenis hidupan marin yang bercengkerang, ikan termasuk ikan pari hanya ditemui hidup di dasar lautan, justeru hanya impak yang amat besar serta dahsyat seperti mengebom ikan boleh membunuh hidupan marin ini,” demikian menurut salah seorang nelayan tempatan di sini, Kamberi Bakar.

Menurut beliau, jika aktiviti ‘meracun’ ikan sekali pun, hidupan marin di dasar laut tidak mudah terjejas sebaliknya tindak mengebom boleh membunuh bukan sahaja hidupan marin di dasar laut, tetapi juga terumbu karang.

Justeru, kita meminta pihak berkuasa berkaitan mengkaji dan menyiasat dengan lebih mendalam perkara ini dan bekerjasama untuk menangkap penjenayah tersebut, jika benar mereka menggunakan bom ikan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam ketika mengulas mengenai beberapa hidupan marin yang ditemui terdampar di Pantai Luak pada Isnin minggu lalu.

Menurut Kamberi, nelayan tempatan di sini tidak menggunakan kaedah mengebom ataupun meracun untuk menangkap ikan kerana sedar tindakan itu akan memusnahkan segala hidupan marin yang besar mahupun yang kecil, selain menyalahi undang-undang.

Nelayan tempatan masih menggunakan kaedah tradisi, pukat dan kail untuk memancing ikan.

Oleh itu kita amat terkejut apabila mendengar insiden yang berlaku ke atas ikan dan hidupan marin yang mati ini, lebih-lebih lagi ikan lumba-lumba.

Jika benar penyebabnya ialah aktiviti mengebom ikan, maka tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan kaedah berbahaya dan diharamkan di negeri ini tidak berlaku lagi kerana ia amat merugikan nelayan tempatan.

Kami tidak mahu aktiviti mengebom yang dilakukan oleh nelayan asing seperti di Sabah, berlaku di sini dan seterusnya memusnahkan kehidupan marin dan terumbu karang khususnya terumba karang Miri-Sibuti yang merupakan zon dilindungi sepenuhnya,” ujar Kamberi.

Mengulas lanjut mengenai laporan oleh kakitangan Beach Republic yang turut menghidu sesuatu yang luar biasa dibawa angin dari arah laut dan melihat banyak jenis kerang dan hidupan marin bercengkerang yang didampar di pantai itu, Kamberi berkata, ada kemungkinan aktiviti dilakukan tidak jauh dari kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Sarawak Forestry Corporation (SFC) akan melakukan siasatan lebih lanjut bagi mengenal pasti punca kematian hidupan marin tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar SFC Oswald Braken Tisen memberitahu bangkai ikan lumba-lumba ‘Finless Porpoise’ terbabit telah dibawa ke pejabat SFC Miri untuk diperiksa dan kemudian ditanam di Taman Simpanan Semulajadi Piasau (PNR) di sini.

Menurut Braken, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kematian ikan lumba-lumba tersebut, sama ada ia tercedera, atau sudah tua dan sakit.

Ketika ditanya mengenai ikan, kerang-kerang dan hidupan kecil lain yang bercengkerang yang mati terdampar dengan banyak di sepanjang pantai tersebut, beliau memberitahu, pihaknya masih belum menerima laporan lengkap berhubung isu berkenaan dan masih menunggu keputusan pemeriksaan.

  • oleh
  • Advertisement