Anda di sini

Jalankan pusat hiburan tanpa lesen, penganggur didenda RM6,000

Advertisement

PETALING JAYA: Seorang penganggur didenda RM6,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen, awal bulan ini.

Majistret Atiqah Abdul Karim@Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Nadim Talib, 33, selepas dia mengaku bersalah menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen yang sah di No 89, Jalan SS 15/4B, Subang Jaya, di sini, pada 8.30 malam, 4 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995 dibaca bersama Seksyen 6(2) enakmen sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ilyani Mohd Tamam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya bekerja separuh masa di premis itu dan tidak mampu membayar denda yang tinggi selain turut menjadi penanggung utama keluarga. — Bernama

Advertisement