Anda di sini

SMK Taman Tunku anjur program perkongsian ilmu keibubapaan

Advertisement
 Pendaftaran oleh ibu bapa pelajar di SMK Taman Tunku, Miri.
DAFTAR: Pendaftaran oleh ibu bapa pelajar di SMK Taman Tunku, Miri.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tunku, Miri telah menganjurkan beberapa acaranya secara serentak iaitu Perkongsian Ilmu Keibubapaan, Hari Penetapan Target PT3 dan SPM, Pendedahan Interactive Whiteboard kepada Ibu Bapa dan Pendedahan Pendidikan STEM kepada Ibu Bapa.

 Turut diadakan ialah Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yang berlangsung pada Sabtu lalu dihadiri oleh seramai 580 ibu bapa.

 Perkongsian ilmu keibubapaan yang bertemakan ‘Sahsiah Cemerlang Anak Bangsa Terbilang’ itu telah dikendalikan oleh penceramah jemputan, Yanti Amir, pegawai Psikologi S41, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

 Pengetua sekolah, Then Chew Nyiew memberitahu matlamat perkongsian ilmu keibubapaan yang diadakan adalah untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada ibu bapa tentang betapa pentingnya pengawasan disiplin terhadap anakanak dan bersikap proaktif tentang masalah anak-anak di bawah jagaan mereka.

 “Kedua, ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa betapa pentingnya perhatian kepada pelajaran anakanak, selain bertujuan untuk mengeratkan hubungan baik antara ibu bapa dan pihak sekolah.

 “Pada masa yang sama bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk mengimbau kelemahan dan kekuatan yang ada pada anak mereka khususnya dalam pelajaran,” jelas beliau.

 Selepas ceramah tersebut, acara diteruskan dengan Hari Penetapan Target yang melibatkan pelajar-pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima serta ibu bapa mereka.

 Pelajar-pelajar telah diedarkan borang penetapan sasaran PT3 dan SPM untuk ditandatangani oleh pelajar-pelajar dan ibu bapa setelah mencapai persetujuan mereka dan pelajar-pelajar diminta untuk membaca ikrar aku janji di hadapan ibu bapa masing-masing.

 “Dengan ini, pihak sekolah berharap mereka mengotakan segala janji yang dilafazkan untuk berjaya dalam akademik masingmasing,” ujar Then.

 Program kemudian diteruskan dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PIBG sekolah, yang turut dihadiri oleh pengerusi PIBG SMK Taman Tunku, Nor Haslina Abdullah, yang turut merasmikan mesyuarat tersebut bagi sesi persekolahan tahun 2017.

 Pembentangan agendaagenda mesyuarat dan perkara berbangkit serta usul daripada ibu bapa telah dijalankan dengan lancar sepanjang mesyuarat agung ini.

 Akhir sekali, majlis pertemuan diakhiri dengan pendedahan Pendidikan STEM kepada ibu bapa yang kemudiannya didedahkan dengan penggunaan ‘interactive whiteboard’ di bilik-bilik khas.

Advertisement