Anda di sini

Penjaga parkir bekal sijil sakit palsu dihukum penjara 18 bulan

Advertisement

SEREMBAN: Seorang penjaga tempat letak kereta dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas dia mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan bersubahat membekalkan sijil sakit palsu hospital kerajaan.

Mohd Nor Izwan Shah Mustapha Kamal, 37, dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan itu, menjadikan jumlahnya 18 bulan.

Bagaimanapun, dia hanya perlu menjalani hukuman penjara enam bulan sahaja selepas Majistret Nurulfitriza Abd Latif memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap 4 Jan lepas.

Tertuduh didakwa bersubahat dengan tiga individu bagi mendapatkan sijil cuti sakit palsu itu di kawasan tempat letak kereta di Jalan Yamtuan di sini pada 18 April 2016 mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh menerima keuntungan bagi mendapatkan sijil cuti sakit palsu tersebut. — Bernama

Advertisement