Anda di sini

Pasangan warga emas disamun lelaki menyamar pegawai JKM

Advertisement

NIBONG TEBAL: Sepasang warga emas disamun wang tunai dan barangan kemas di rumah mereka di Jalan Tali Air, Sungai Udang di sini oleh seorang lelaki menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menurut polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, wanita berusia 74 tahun itu dan suasminya telah didatangi seorang lelaki berpakaian kemas dan memakai kopiah mendakwa daripada JKM.

“Lelaki itu mendakwa dia ke rumah mangsa untuk mengambil gambar keadaan rumah bagi membolehkan JKM menyalurkan bantuan dan dalam masa sama suspek menyuruh wanita itu menanggalkan rantai serta gelang emas dipakainya.  

“Dia memberitahu tiga lagi rakannya dalam perjalanan untuk ke rumah mangsa dan suspek turut memberikan RM10 kepada suami mangsa kononnya untuk sedekah,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata lelaki terbabit menyuruh mangsa menyediakan minuman untuk dia dan rakannya yang akan tiba dan dalam masa sama suspek mengambil gambar bahagian dapur rumah sebelum kembali ke ruang tamu.

Shafee berkata wanita itu melihat lelaki terbabit tergesa-gesa meninggalkan rumah semasa hendak menghidangkan air dan cuba memanggil lelaki terbabit tetapi suspek terus menunggang motosikal melarikan diri.

“Mangsa kemudian memeriksa dalam almari ruang simpanan barang kemasnya dan mendapati rantai serta gelang emas dan wang tunai RM800 yang disimpan dalam beg kecil telah hilang dipercayai dilarikan suspek,” katanya dan menurutnya nilai barangan kemas itu kira-kira RM5,000 .

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes yang menggunakan modus operandi sama di daerah itu.

Usaha mengesan lelaki berusia lingkungan 20-an itu giat dijalankan dan polis meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berhubung kejadian seperti itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya. — Bernama

Advertisement