Anda di sini

Lelaki didakwa ganggu pelajar dalam LRT diserah kepada polis

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang didakwa mengganggu seorang penumpang wanita di dalam tren LRT laluan Kelana Jaya pada Isnin telah diserah kepada polis.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata pihaknya berusaha mengesan lelaki itu sejak beberapa hari lepas setelah dimaklumkan mengenai insiden yang dimuat naik menerusi akaun Facebook mangsa, Nur Dini Van Haeren, 21, seorang penuntut universiti swasta.

“Susulan kejadian, kami menghubungi Nur Dini bagi mendapatkan maklumat lanjut yang kemudian diguna untuk mengesan lelaki itu menerusi rakaman kamera litar tertutup.

“Lelaki itu berjaya ditahan di Stesen LRT Taman Jaya semalam (kelmarin),” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis selepas mangsa membuat pengecaman.

Zohari turut mengingatkan penumpang agar sentiasa waspada dan bertenang sekiranya berdepan dengan situasi tidak menyenangkan serta segera memaklumkan kepada staf, polis bantuan atau penumpang lain bagi mendapatkan bantuan.

Menurut kenyataan itu, Nur Dini diganggu oleh lelaki berusia 37 tahun dari Lembah Subang tersebut selepas wanita berkenaan menaiki tren di Stesen LRT Kelana Jaya ke pusat bandar. — Bernama

Advertisement