Anda di sini

Bom surat gempar IMF di Paris

Advertisement
 Anggota pasukan Forensik Polis dilihat meninggalkan pejabat IMF di Paris kelmarin selepas satu bom surat meletup                            di dalam bangunan tersebut, menyebabkan seorang setiausaha IMF tercedera. — Gambar AFP
SIASAT: Anggota pasukan Forensik Polis dilihat meninggalkan pejabat IMF di Paris kelmarin selepas satu bom surat meletup di dalam bangunan tersebut, menyebabkan seorang setiausaha IMF tercedera. — Gambar AFP

PARIS: Penyiasat mengesyaki sebuah kumpulan anarkis Greek sebagai dalang bom surat yang mencederakan seorang setiausaha Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Paris kelmarin, sehari selepas satu bahan letupan ditemui di Berlin, menurut sumber yang rapat dengan siasatan.

Cebisan setem Greek ditemui di pejabat IMF di Paris di mana bom surat itu meletup, menyebabkan seorang setiausaha mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepalanya.

Sebuah kumpulan haluan kiri Greek dikenali sebagai “Conspiracy of Fire Nuclei” adalah “kemungkinan besar mendalangi” serangan di Paris, seorang sumber polis Greek memberitahu AFP di Athens.

Penyiasat Perancis memberitahu rakan setugas mereka di Greek bahawa bungkusan telah dihantar dari Athens, menurut pihak berkuasa.

Secara berasingan, seorang sumber yang rapat dengan siasatan Perancis menyatakan ia sedang memberi tumpuan kepada “sebuah kumpulan anarkis”.

Kumpulan “Conspiracy of Fire Nuclei” pada mulanya mengaku bertanggungjawab bagi satu bahan letupan, yang turut dihantar dari Greece, yang ditemui oleh polis di pejabat Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schaeuble.

Bungkusan itu ditemui pada Rabu lepas, sehari sebelum Schaeuble dijangka menjadi tuan rumah kepada rakan setugasnya yang baharu dari Amerika Syarikat, Steven Mnuchin.

Ramai rakyat Greek mempersalahkan Jerman dan IMF kerana membuat pemotongan dan perubahan pada sektor awam selama beberapa tahun untuk pertukaran dengan pakej jaminan yang diperlukan bagi membantu negara yang dilanda hutang.

Beberapa insiden berlaku selama lebih enam tahun selepas “Conspiracy of Fire Nuclei” melancarkan kempen yang sama menyasarkan pihak berkuasa Eropah.

Kumpulan tersebut, yang telah disenaraihitamkan sebagai sebuah organisasi pengganas oleh Washington, menghantar bom surat ke beberapa kedutaan asing di Greece dan kepada pemimpin Eropah pada 2010.

Kelmarin di Paris, para pekerja diarahkan keluar dari bangunan di mana IMF yang berpusat di Washington mempunyai beberapa pejabat berhampiran dengan Arc de Triomphe di tengah bandar utama Perancis selepas letu-pan pada lewat pagi.

Setiausaha, yang bekerja bagi seorang pengurus kanan yang tidak dinyatakan nama-nya, mengalami kecederaan pada bahagian muka akibat terkena “serpihan benda tajam, termasuk letupan di dalam gegendang telinga” namun tidak dalam keadaan bahaya, menurut ketua polis Paris, Michel Cadot.

“Ia kelihatan seperti bunga api atau sebiji mercun yang besar,” katanya, menjelaskan bahan itu sebagai berkait rapat dengan “hanya permulaan dan tiada apa-apa yang seperti sebiji bom”.

Ketua IMF Christine Lagarde telah mengecam insiden tersebut sebagai “tindakan keganasan yang pengecut” dan menegaskan tabung tersebut akan meneruskan tugasnya “sejajar dengan mandat kami,” menurut satu kenyataan dari pejabat beliau.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Pe-rancis bagi menyiasat insiden ini dan memastikan kese-lamatan kakitangan kami,” tegasnya. — AFP

Advertisement