Anda di sini

SM Sains Miri pencapaian kedua terbaik di Sarawak

Memperoleh GPS 1.99, capai 100 peratus kelulusan dengan 15 pelajarnya memperolehi semua A

 Pelajar cemerlang SM Sains bersama keputusan masing-masing bergambar bersama guru mereka.
TERBAIK: Pelajar cemerlang SM Sains bersama keputusan masing-masing bergambar bersama guru mereka.

MIRI: Sekolah Menengah (SM) Sains Miri sekali lagi membuktikan pencapaian cemerlang mereka dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.99 sekali gus meletakkan sekolah itu sebagai kedua terbaik di Sarawak dan terbaik di Miri.

Pencapaian dalam keputusan SPM yang diumumkan serentak di seluruh negara semalam itu, merupakan kegembiraan dikongsi 64 calon SPM tahun lepas yang menyumbang kepada prestasi cemerlang itu menerusi kejayaan mereka.

Menurut Pengetuanya Mohd Dzul Badzli Abdullah, SM Sains Miri telah berjaya mencapai 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan tersebut dengan 15 daripada pelajarnya memperolehi semua A.

 “Pada 2015, GPS kami ialah 2.11 dan pada tahun ini (keputusan SPM 2016), para pelajar telah membuktikan bahawa mereka telah melakukan yang terbaik dan semua kerajinan serta usaha keras mereka selama ini terbayar.

Sehubungan itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa pelajar dan guru yang membimbing mereka kerana pencapaian cemerlang dalam keputusan SPM 2016 diumum hari ini (semalam),” jelasnya.   

Mohd Dzul juga berharap agar pelajarnya bersedia menghadapi masa depan yang akan dihadapi mereka, mengekalkan prestasi baik dan membuktikan kepada dunia bahawa mereka mampu memberi yang terbaik walau di mana juga mereka berada, selain mengekalkan nama baik sekolah.

Pelajar amat digalak dan dialu-alukan datang sekolah ini semula bagi menyumbang semula kepada sekolah mereka,” katanya.

Manakala salah seorang pelajar terbaik sekolah memperoleh 15A, Juneiro Jinil dari Sri Aman, berkata antara rahsia kejayaannya ialah belajar bersama rakan-rakan.

Saya amat suka belajar dan saya sentiasa berkongsi apa jua yang saya ketahui bersama rakan saya dan jika mereka memerlukan bantuan. Saya akan bertindak sebagai guru dan mengajar mereka apa yang ingin mereka ketahui,” katanya.

Saya akan fokus dalam kelas dan sentiasa bertanya soalan kepada guru dan apabila saya rasa mengantuk dalam kelas, saya paksa diri sendiri tidak terlelap, memandangkan saya selalu mengisi masa lapang dengan aktiviti sukan selepas sekolah dan kemudian belajar hingga lewat malam,” tambahnya.

Anak ketiga daripada empat beradik ini bercita-cita menjadi guru kimia.   

Seorang lagi pelajar memperolehi A dalam semua subjek, Adi Jitwil berkata belajar berkumpulan merupakan rahsia kejayaannya.

Saya turut meluangkan masa belajar untuk diri sendiri dan cuba mengurangkan aktiviti kecergasan kerana ingin fokus dalam pembelajaran,” tambahnya.

Adi yang berasal dari Lundu dan merupakan anak yatim selepas ayahnya meninggal dunia tiga tahun lalu, berhasrat mahu menyambung pelajaran di Jepun dan beliau juga telah mendapat keputusan ‘A’ dalam subjek Bahasa Jepun yang diduduki pada SPM lalu.

Pencapaian itu katanya, menambahkan lagi semangatnya untuk terus berjaya dan belajar di negara matahari terbit itu, dalam bidang kejuruteraan.

Kedua-dua Adi dan Juneiro adalah pelajar yang diangkat di bawah Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang menyasarkan pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin yang diberi bantuan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan.

  Turut hadir pada penyerahan keputusan SPM kepada para pelajar semalam ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM Sains Nazri Ahmad Lai.