Anda di sini

Projek jahit selimut bantu golongan miskin bandar

Advertisement
 Jaya Letchumy Rasalingam, dan suaminya, Mageswaran Veerapan, masing-masing 41 tahun, memperkemaskan alas kaki yang siap dijahit. — Gambar Bernama
SUMBER PENDAPATAN: Jaya Letchumy Rasalingam, dan suaminya, Mageswaran Veerapan, masing-masing 41 tahun, memperkemaskan alas kaki yang siap dijahit. — Gambar Bernama

MELANGKAH keluar lif, kelihatan seorang lelaki duduk di kerusi rodanya di muka pintu tidak jauh dari situ sambil tersenyum menyambut kedatangan penulis.

Lantas, seorang wanita pula menjenguk dan menjemput penulis untuk duduk di ruang tamu. Dia berjalan agak tempang dengan menggunakan tongkat.

Maaf, macam nilah rumah kami, dua orang OKU (Orang Kurang Upaya),” kata Jaya Letchumy Rasalingam, yang fasih berbahasa Melayu memulakan bicara. Unit rumah pangsa satu bilik yang didiami pasangan itu kelihatan rapi dengan satu sudutnya khusus untuk peralatan menjahit.

Jaya Letchumy dan suaminya, Mageswaran Veerapan, masing-masing 41 tahun, adalah pasangan aktif projek menjahit selimut yang dikelolakan oleh Kechara Soup Kitchen Society (KSK) dalam usaha membantu golongan miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur menambah pendapatan.

Kechara bukan saja ajar menjahit, mereka juga bekalkan mesin jahit, benang, jarum dan kain,” Jaya memberitahu Bernama sambil menunjukkan cantuman-cantuman kain yang sedang dijahitnya.

Suami saya pun bantu juga tapi dia buat alas kaki. Walaupun kami cacat, kami boleh buat sesetengah kerja. Kan orang kata, kalau hendak seribu daya,” jelasnya mengenai satu lagi projek KSK iaitu membuat alas kaki daripada selimut hotel yang dikitar semula.           

Sambil tersenyum mendengar celoteh isterinya, Mageswaran mencelah, “Dalam keadaan berkerusi roda macam ni memang susah nak pi kerja, dia (isteri) pun tak boleh banyak berjalan, lagi pun dia kena uruskan saya.

Kami dua-dua orang sekolah sampai SRP (Sijil Rendah Pelajaran) saja. Nasib baik Kechara buat projek ni, dapatlah kami cari duit sikit dan tak bergantung seratus peratus kepada orang,” tambah Mageswaran dengan loghat utara yang agak pekat. Beliau berasal dari Bedong, Kedah manakala Jaya pula dari Selayang, Kuala Lumpur.

CACAT CEDERA

Berbual lanjut, Jaya yang sentiasa ceria dan suka berseloroh itu memberitahu bahawa mereka berdua bukanlah cacat sejak dilahirkan.

Jaya menjadi OKU ketika berumur 18 tahun, setelah terjatuh dari tingkat tiga di sebuah kilang, mengakibatkan tulang belakang dan kedua-dua tangannya patah serta tulang kakinya retak dan tumitnya hancur.

Tiga pembedahan dalam tempoh dua tahun, saya masih lumpuh dari pinggang ke bawah. Hanya selepas pembedahan keempat dan rawatan fisioterapi, barulah saya boleh berjalan menggunakan ‘walking frame’,” jelasnya.

Mageswaran pula mengalami kecederaan ketika berusia 19 tahun kerana terjatuh dari pokok kelapa sewaktu membantu jiran di kampungnya. Beliau terpaksa berkerusi roda sejak itu berikutan tulang belakangnya patah.

Bukan patah saja tapi ada urat putus. Jadi seumur hidup kena guna kerusi roda.

Saya nak kerja tapi di kampung tak banyak peluang. Jadi, saya pergi ke Kuala Lumpur. Saya masuk pusat latihan, belajar apa yang boleh,” kata Mageswaran.

Mereka berkahwin 11 tahun lepas setelah beberapa bulan berkenalan ketika menjalani latihan kemahiran hidup di Independent Living & Training Centre, sebuah pusat milik badan bukan kerajaan (NGO) di Rawang.

Kini, pasangan yang tinggal di Tingkat 12, Perumahan Awam Seri Kelantan, Jalan Sentul Pasar, itu mendapat bantuan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain bekalan barangan dapur daripada KSK sejak beberapa tahun lepas.

Sekurang-kurangnya pendapatan daripada menjahit boleh tampung belanja ubat suami saya,” kata Jaya lalu menambah bahawa selain kecacatan sedia ada, suaminya masih dirawat kerana mengalami kudis tekanan berikutan kecederaan dalam kemalangan langgar lari pada 2010.

Ketika kemalangan, pasangan itu yang menunggang motosikal OKU, dalam perjalanan pulang dari berniaga. Sejak itu, mereka berdua yang telah beberapa tahun menjual alat tulis dan peralatan sembahyang tidak dapat berniaga lagi.

Ketika menerima rawatan kakinya yang retak dan isi terkoyak akibat kemalangan itu, Mageswaran terpaksa banyak berbaring. Kini, walaupun kakinya pulih, kudis tekanan itu pula menjadi semakin teruk dan masih perlu dirawat. 

Memang agak payah untuk ke hospital atau ke mana-mana dalam keadaan sekarang. Nak teruskan hidup kena usaha, semua orang ada masalah dan mungkin ada orang lain yang lebih susah.

Saya dah jahit lima belas helai selimut dan gembira dapat cari duit. Saya cadang nak ajar anak jiran buat alas kaki,” kata Jaya mengakhiri perbualan.

DEMI ANAK

Seorang lagi peserta projek menjahit selimut KSK ialah Devi Sinnathurai, 39, yang tinggal bersama-sama suaminya, Ragunathan Batumalai, 43, dan 11 anak di Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang, Setapak di sini. Ragunathan bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Devi yang menyertai projek itu sejak lima bulan lepas berkata, sejak menjahit, beliau tidak perlu lagi meminta duit daripada suaminya untuk keperluan anak, yang berumur antara satu dan 18 tahun.

Saya harap kerja ni berterusan. Saya nak belajar menjahit langsir atau pakaian,” katanya yang mengambil masa kira-kira dua minggu belajar menjahit.

Menurut Devi, anak perempuannya yang berumur 17 tahun akan membantu menjahit ketika beliau sibuk menguruskan anak atau memasak.

Ditanya jika beliau memerlukan sebuah lagi mesin jahit agar anaknya boleh membantu tingkatkan produktiviti, Devi menjawab, “Tak perlu. Kalau ada mesin,  bagilah orang lain cari rezeki juga.”

Lagipun anak mesti utamakan pelajarannya.”

Anak sulungnya tamat tingkatan lima pada tahun lepas, manakala empat lagi belajar di sekolah menengah, tiga di sekolah rendah dan lainnya belum bersekolah.

Kami nak anak belajar sampai kolej dan berjaya pada masa hadapan,” katanya yang sudah menyiapkan lima helai selimut.               

Sementara itu, Pengarah Projek KSK Justin Cheah berkata projek menjahit selimut dan membuat alas kaki dimulakan pada pertengahan tahun lepas, apabila menyedari terdapat penerima bantuan KSK yang mahu dan mampu bekerja dari rumah.

Contohnya, pasangan OKU Jayaletchumi dan Mageswaran yang sukar bergerak ke mana-mana dan Devi yang mempunyai ramai anak serta terpaksa menguruskan rumah tangga.

Jadi, selain bantuan bekalan barangan bulanan, kami beri peluang mereka tambah pendapatan. Ini bukan sahaja soal kewangan malah membuatkan mereka rasa mampu menyumbang,” jelasnya.

Projek selimut bermula dengan lima keluarga miskin bandar manakala projek alas kaki lebih memberi tumpuan kepada gelandangan. Bayaran upah bagi setiap jahitan selimut adalah antara RM50 dan RM80 berdasarkan saiz manakala upah bagi alas kaki pula ialah RM30 setiap satu. Cadar dijual dengan harga antara RM160 dan RM250 dan alas kaki pula RM30.

Kini, hanya 10 daripada 15 keluarga yang meneruskan projek selimut itu manakala lima lagi menarik diri berikutan masalah tertentu.

KSK menerima pelbagai sumbangan termasuk mesin jahit dan bekalan untuk projek-projek kami. Selain melatih, kami pastikan peserta yang mampu menyiapkan selimut dan alas kaki dengan baik sahaja yang akan diterima.

Ibarat pepatah Cina yang berbunyi, “Berikan seekor ikan kepada seseorang, maka anda memberikannya makan untuk sehari tetapi jika ajarkan dia cara menangkap ikan, maka dia boleh makan seumur hidup,” kata Justin sambil berharap dapat melatih lebih ramai golongan memerlukan berusaha mencari rezeki.

Selain mengedarkan makanan kepada gelandangan, KSK yang bertapak di negara ini sejak 2006 juga memberikan bekalan barangan dapur bagi membantu golongan memerlukan, menyediakan bantuan asas perubatan melalui klinik bergerak, membantu gelandangan mencari pekerjaan dan bilik sewa yang sesuai serta memberi kaunseling bagi pelbagai masalah yang dihadapi. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement