Anda di sini

GK beri kehidupan baharu kepada anak setinggan

Advertisement

KOTA KINABALU: ‘Mem-punyai impian itu ibarat satu gurauan’ demikian kata Vincent Tatel, 18, anak bekas seorang pemungut sampah di Angat, Bulacan Filipina.

Berikutan kemiskinan hidup yang dilalui, anak muda yang membesar di rumah setinggan ini tidak berani menyimpan sebarang impian kerana dia tahu selepas tamat persekolahan, dia akan menjadi seperti remaja lain yang bekerja sebagai pekerja tapak pembinaan mahupun pemandu bas.

Kebanyakan daripada mereka hanya bekerja sebagai pembantu rumah, pekerja tapak pembinaan serta pemandu.

Namun, peluang yang diberikan Gawad Kalinga (GK) untuk meningkatkan taraf hidup anak-anak orang miskin menjadi usahawan sosial tidak disia-siakan olehnya.

Kini, dia mengusahakan ternakan ayam bersama seorang rakan dari Perancis, Louis Faure.

Anak muda ini tidak menyimpan impian yang terlalu besar sebagai usahawan sosial, baginya cukup sekadar dia mampu memastikan anak-anak muda di Filipina bebas daripada kelaparan.

Menurutnya usaha GK membawa anak-anak orang miskin seperti mereka menetap di kawasan GK Enchanted Farm memberi sinar harapan kepada mereka untuk keluar daripada garis kemiskinan.

GK memberikan kami nilai untuk berjaya dalam kehidupan. Atas sebab itu, saya berpegang kepada prinsip selagi GK tidak putus asa, kami juga tidak akan berputus asa,” katanya semasa berkongsi rahsia kejayaan GK dalam membawa anak-anak orang miskin sepertinya keluar daripada garis kemiskinan.

Perkongsian itu dilakukan semasa Ceramah Umum Pengasas GK Tony Meloto yang dianjurkan oleh Kumpulan Hap Seng di Plaza Hap Seng, di sini, kelmarin.

GK adalah satu pergerakan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membangunkan masyarakat mampan, bersepadu dan holistik di kawasan luar bandar dengan visi untuk menamatkan kemiskinan bagi lima juta masyarakat Filipina menjelang 2024.

GK Enchanted Farm pula dibangunkan oleh GK bagi menempatkan keluarga miskin yang dikenal pasti di Filipina untuk tinggal di penempatan yang menyediakan segala kemudahan dalam satu tempat. Enchanted Farm turut menempatkan sekolah bagi memastikan anak-anak orang miskin mendapat pendidikan secukupnya agar mereka mampu mengubah kehidupan keluarga masing-masing.

Dengan usaha yang ditunjukkan Vincent dalam mencipta kejayaan sebagai seorang usahawan sosial kini, anak muda ini turut dijemput ke beberapa universiti di Eropah termasuk Paris untuk berkongsi kisah kejayaannya.

Ayahnya kini bekerja sebagai ‘vermiculturist’ manakala ibunya pula sebahagian daripada pasukan pembantu rumah di GK Enchanted Farm.

Turut berkongsi kisah kehidupan yang hampir sama adalah Danilo Ablen, 20, yang kini sudah menetap di GK Enchanted Farm selama tujuh tahun.

Anak seorang pembantu restoran yang dibesarkan tanpa seorang ayah ini mengambil tempoh yang agak lama untuk mengubah tabiat buruknya sebelum dia berubah sepenuhnya seperti sekarang.

Ditinggalkan ayah sejak dari kecil menyebabkan remaja ini membesar dengan persekitaran yang tidak sempurna.

Namun, langkah GK mendekati insan kurang bernasib baik seperti mereka membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.

Abang kepada adik penghidap leukemia ini tidak menjadikan suratan kehidupan yang berlaku ke atasnya sebagai halangan untuknya mengecapi kejayaan.

Berkat bimbingan GK, usahawan sosial ini berjaya menghasilkan produk sendiri ‘Oh GK’ yang mana, pengeluarannya kini sudah mencecah 20,000 botol setahun.

Biarpun jumlah itu tidak dapat menyaingi pengeluar syarikat besar lain, namun dia tetap berasa bertuah kerana mampu berusaha untuk keluar daripada kehidupan miskin yang hanya tinggal di kawasan setinggan.

Kedua-dua remaja ini kini diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga berasal dari Malaysia yang kini menetap di Filipina.

Advertisement