Anda di sini

Semua pihak perlu jaya matlamat Kempen Mencegah Obesiti

Advertisement
 Fatimah (dua kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada David (dua kanan) sambil diperhatikan Dr Gregory Hii (kiri) dan Wong (kanan).
CEGAH OBESITI: Fatimah (dua kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada David (dua kanan) sambil diperhatikan Dr Gregory Hii (kiri) dan Wong (kanan).

SIBU: Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah menggesa semua pihak memainkan peranan untuk menjayakan matlamat Kempen Mencegah Obesiti dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata, obesiti menjadi masalah semakin meningkat dan sering dikaitkan dengan negara membangun dan Malaysia direkod sebagai negara mencatat kadar obesiti paling tinggi di ASEAN.

Kaji selidik dilakukan Kementerian Kesihatan pada 2012 mendapati lebih suku jumlah kanak-kanak sekolah di Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti,” jelasnya.

Fatimah berkata demikian ketika merasmikan Kempen Mencegah Obesiti anjuran Delta Leasing Sdn Bhd di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart di sini, semalam.

Ujarnya, semua pihak termasuk kerajaan, industri, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti dan individu perlu berkongsi tanggungjawab dalam mencegah masalah obesiti.

Selain itu, kumpulan kerja perlu diwujudkan dalam kalangan komuniti, sekolah, pusat kesihatan dan tempat bekerja untuk mendidik generasi muda mengenai masalah obesiti dan kesan kesihatan disebabkan obesiti,” tegasnya.

Beliau turut memuji usaha yang dijalankan Delta Leasing Sdn Bhd kerana menganjurkan kempen itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan berharap orang lain dapat mencontohi usaha itu.

Sementara itu, pengerusi penganjur Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata, kempen itu tanggungjawab sosial korporat Delta Leasing Sdn Bhd dengan dana permulaan RM50,000 dan akan dijalankan di seluruh negeri dalam tempoh dua tahun ini.

Kempen ini akan fokus kepada pelajar-pelajar sekolah dan golongan muda berkerjaya perlu mendaftar untuk menyertai program. Kempen yang dilancarkan pada hari ini adalah fasa pertama.

Kita akan memperluaskan kempen ke bahagian Kuching, Bintulu dan Miri pada tahun depan. Diharapkan usaha yang dilakukan dapat memberi maklum balas yang positif,” ujarnya yang juga pengarah urusan Delta Leasing Sdn Bhd.

Sebanyak enam organisasi dan sekolah menengah di Sibu akan mengambil bahagian dalam kempen iaitu Pejabat Residen Sibu, SMK Sacred Heart, SMK Methodist, SMK Tung Hua, SMK Bandar Sibu dan SMK Chung Hua.

Hadir sama ialah Pengetua SMK Sacred Heart David Teo, Timbalan Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah dan Pengarah Hospital Sibu Dr Ngian Hie Ung.

Advertisement