Anda di sini

Polis tahan tiga suspek bantu siasatan kes bunuh tentera

Advertisement
 Farhan (tengah) bersama pegawai PDRM pada sidang media kelmarin.
SIASAT: Farhan (tengah) bersama pegawai PDRM pada sidang media kelmarin.

RANAU: Polis telah menahan tiga suspek lelaki tempatan untuk membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang anggota tentera di pekan Ranau pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau DSP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihak polis turut merampas sebilah pisau daripada suspek yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

Suspek pertama ditahan ialah seorang lelaki berusia 30 tahun pada 7.30 petang 12 Mac di rumahnya di Kampung Lohan. Penahanan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 17 di sebuah pusat hiburan di pekan Ranau, kira-kira sejam kemudian. Turut dijumpai di dalam beg sandang suspek adalah pisau lipat dipercayai senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut beliau, tangkapan ketiga dibuat terhadap seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di pekan Ranau kira-kira jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, pada awal pagi Ahad lalu, seorang lelaki tempatan ditemui mati dibunuh dalam sebuah kenderaan KIA Sportage SUV di hadapan sebuah kedai tayar di pekan Ranau.

Katanya, bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa menunjukkan terdapat tujuh kesan tikaman di bahagian hadapan dan belakang badan yang disebabkan objek tajam, dipercayai pisau.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Fadzil Mohd Abdul Tahar, 29, dari Kampung Libang, Ranau yang bekerja sebagai anggota tentera ditemui oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sambil duduk di tempat duduk pemandu kenderaan itu awal pagi Ahad,” katanya.

Farhan berkata ketika kejadian, mangsa yang dipercayai mabuk terlibat dalam pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di sini dengan dua lelaki tempatan sebelum mangsa ditemui dalam keretanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menyeru kepada sesiapa yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat mengenainya supaya tampil memberikan maklumat.

Advertisement