Anda di sini

Perang Syria sasar pekerja kesihatan

Advertisement

Lebih 800 terkorban, kebanyakan serangan didalangi tentera kerajaan dan Rusia

 Gambar fail 15 Februari tahun lepas menunjukkan penduduk berkumpul di sekitar runtuhan sebuah hospital yang disokong Doctors Without Borders (MSF) dekat Maaret al-Numan, wilayah utara Idlib yang menjadi sasaran jet pejuang Rusia. — Gambar AFP
KETERLALUAN: Gambar fail 15 Februari tahun lepas menunjukkan penduduk berkumpul di sekitar runtuhan sebuah hospital yang disokong Doctors Without Borders (MSF) dekat Maaret al-Numan, wilayah utara Idlib yang menjadi sasaran jet pejuang Rusia. — Gambar AFP

PARIS: Lebih 800 pekerja kesihatan terkorban dalam jenayah perang di Syria sejak 2011, di mana serangan bom ke atas hospital, tembakan, penyeksaan dan pembunuhan didalangi khususnya oleh tentera yang disokong kerajaan, menurut para penyelidik semalam.

Kerajaan Syria dan sekutunya, Rusia, telah mengubah penahanan penjagaan kesihatan secara ganas menjadi senjata perang, menurut satu analisis yang diterbitkan di dalam jurnal perubatan The Lancet.

Pensenjataan” penjagaan kesihatan ini, katanya, diterjemahkan kepada ratusan pekerja kesihatan yang terbunuh, ratusan lagi dikurung atau diseksa dan ratusan kemudahan kesihatan yang sengaja atau secara sistematik diserang.

Dalam peperangan itu, kira-kira 15,000 doktor, kira-kira separuh berbanding jumlah sebelum perang, meninggalkan negara, yang menyebabkan ratusan ribu orang awam tidak ada akses kepada penjagaan asas.

Masyarakat antarabangsa amnya membiarkan pencabulan undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa ini tanpa jawapan,” kata penulis laporan tersebut.

Ia dihimpun oleh pakar dari universiti di Beirut, Britain dan Amerika Syarikat, selain Persatuan Perubatan Syria Amerika (SAMS) dan Multi-Aid Programs, sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Data yang mereka kumpul menunjukkan 782 pekerja kesihatan terbunuh dari Mac 2011 hingga September tahun lepas.

Daripada keseluruhannya, 247 (32 peratus) adalah doktor, 176 (23 peratus) jururawat dan 146 (19 peratus) adalah medik, menurut Physicians for Human Rights, sebuah kumpulan bukan mencari keuntungan.

Mangsa lain termasuk pakar farmasi, pelajar perubatan, pekerja ambulans dan veterinar yang ditambah ke dalam senarai kerana mereka terkorban ketika merawat orang.

Pembedilan dan serangan bom ke atas hospital dan klinik menyumbang kepada 426 (55 peratus) kematian, kata laporan berkenaan.

Serangan tembakan ke atas profesional perubatan menyusul dengan 180 kematian (23 peratus, penyeksaan dengan 101 (13 peratus) dan pembunuhan 61 orang (lapan peratus).

Sejak September 2016, sekurang-kurangnya 32 lagi hilang nyawa mereka, yang menjadikan jumlah keseluruhan pekerja kesihatan yang maut dalam jenayah tindakan perang dalam konflik selama enam tahun itu sebanyak 814, kata kajian berkenaan.

Ini mungkin anggaran yang amat rendah, tambahnya.

Peperangan di Syria sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 320,000 orang dan menyebabkan jutaan lagi hilang tempat tinggal dalam tempoh enam tahun.

Bukti membayangkan kerajaan Syria menyasari medik sebagai satu strategi, dan hingga ke tahap yang tidak pernah kelihatan sebelum ini dalam peperangan, kata penyelidik.

Majoriti serangan ke atas kemudahan kesihatan, 94 peratus, adalah angkara kerajaan Syria dan sekutunya, termasuk Rusia.

Satu kes contoh: Hospital Gua Kafr Zita di Hama sudah dibom 33 kali sejak 2014, termasuk enam kali setakat ini pada tahun ini. Dan M10, sebuah hospital bawah tanah di Aleppo, diserang 19 kali dalam tempoh tiga tahun sebelum ia dimusnahkan pada Oktober 2016.

Walaupun doktor yang masih tinggal, kebanyakannya pelajar atau doktor muda yang mentah, menempuh pergolakan, pemimpin antarabangsa tidak mengambil sebarang tindakan untuk membawa dalang ke muka pengadilan, kata penulis laporan.

The Lancet, dalam satu tulisan pengarang, menyebut tentang kegagalan yang serius oleh komuniti kesihatan global dan tadbir urus antarabangsa.

Seluruh rantau dan rakyatnya telah musnah manakala dunia hanya melihat.

Kesihatan dan pemba-ngunan akan mengambil masa beberapa dekad untuk maju,” menurut jurnal. — AFP

Advertisement