Anda di sini

Penjara tiga tahun enam bulan, lima sebatan bersalah tipu lima individu

Advertisement

SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan berserta lima sebatan terhadap seorang pemuda atas tuduhan menipu dengan menawar peluang pekerjaan sebagai pembantu dapur.

Christopher Ricky, 25, dari Suai, Niah dijatuhkan hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit dengan kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Christopher didakwa menipu lima orang mangsa antara 23 Mei, 2016 hingga 9 Jun, 2016, dengan memperdayakan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun miliknya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memperdayakan kelima-lima mangsa dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai pembantu dapur di sebuah syarikat dengan gaji RM130 sehari.

Tertuduh kemudian meminta mangsa membuat bayaran bagi tujuan pemprosesan dokumentasi  juga pembayaran kursus pelaut.

Oleh kerana percaya dengan tawaran itu, mangsa memasukkan wang sebanyak RM950 ke dalam akaun tertuduh.

Setelah mangsa memasukkan wang ke dalam akaun tertuduh, mangsa belum menerima peluang pekerjaan seperti yang telah dijanjikan.

Siasatan pihak polis juga mendapati tertuduh dikehendaki polis di beberapa daerah iaitu di Kuching, Padawan, Miri dan Sibu kerana menipu dengan modus operandi yang berbeza.

Advertisement