Anda di sini

Pencuri sasar sarang lebah NZ

Advertisement

WELLINGTON: Lebah di New Zealand sedang dicuri dan diniagakan oleh sindiket jenayah terancang yang mahu meraih keuntungan daripada harga madu yang melambung tinggi, kata polis dan pemelihara lebah kelmarin.

Tidak penting sama ada ia adalah pemeliharaan lebah atau metamfetamina, ini adalah kerubut emas baharu,” kata Laurence Burkin, pengurus pemeliharaan lebah di The True Honey Co di Dannevirke, ke utara Wellington, dan antara mangsa kecurian sarang lebah.

Kecurian sarang lebah semakin meningkat, dengan 400 kecurian madu atau lebah dilaporkan dalam tempoh enam bulan sehingga Januari lalu, menurut polis tanpa memberi perangkaan bagi tempoh sebelum itu.

Kita tidak ada apa-apa yang membayangkan setakat ini bahawa kecurian sarang lebah madu ada kaitan langsung dengan sindiket tertentu, tetapi kami percaya kesalahan ini terancang dan kemungkinan dijalankan oleh kumpulan,” kata Sarjan Kanan Alasdair MacMillan, Penyelaras Kepolisan Komuniti dalam Pasukan Polis New Zealand.

Jenayah itu berlaku ketika industri madu di New Zealand sedang pesat berkembang.

Eksport melonjak sebanyak 35 peratus kepada NZ$315 million (RM977 juta) dalam tempoh setahun sehingga Jun lalu, menurut Kementerian Industri Asas, dengan kira-kira satu pertiga dijual kepada China dan Hong Kong.

Pemelihara lebah berkata harga yang melambung tinggi bagi madu tempatan Manuka, yang perangkaan rasmi menunjukkan nilainya sudah meningkat tiga kali ganda sejak 2012, mendorong peningkatan dalam jenayah berkaitan lebah.

Ia berleluasa kerana harga madu yang terlalu tinggi, ia tidak munasabah. Wang dapat diperolehi dengan mudah jika kita membeli dan menjual sarang lebah,” kata Bruce Robertson, Pengarah Urusan Haines Apiaries di Kaitaia.

Madu Manuka, produk tempatan yang mahal kerana mengandungi khasiat antibakteria selain rasanya yang unik, berharga NZ$148 (RM459) sekilogram, menurut perangkaan kerajaan, dengan sarang lebah bernilai NZ$2,000 (RM6,200).

Robertson berkata, dia baru-baru ini membelanjakan NZ$5,000 (RM15,500) untuk meningkatkan lagi keselamatan, selepas mendapati satu atau dua daripada kira-kira 3,000 sarang lebahnya dicuri setiap minggu.

Polis kini bekerjasama dengan Apiculture New Zealand dan MPI untuk memperbaiki teknik siasatan dan memajukan pangkalan data bagi menjejaki pergerakan sarang lebah di seluruh negara.

Dalam pada itu, New Zealand menyasarkan untuk memperkukuh perdagangan dan pelancongan dengan negara Amerika Latin, Afrika dan Eropah menerusi perjanjian baharu dalam perkhidmatan penerbangan, lapor agensi berita China Xinhua.

Kerajaan telah meluluskan empat perjanjian baharu dengan Kenya, Botswana Republik Dominican dan Guyana selain membuat beberapa pindaan perjanjian dengan Itali, kata Menteri Pengangkutan Simon Bridges semalam. 

Perjanjian lain yang juga berjaya dicapai ialah dengan Belize, Nicaragua, Colombia dan Sepanyol,” kata Bridges.

Katanya, New Zealand kini mempunyai 61 perjanjian perkhidmatan udara dengan wilayah dan negara di dunia. — Reuters

Advertisement