Anda di sini

Naib kecam perang dadah Duterte

Advertisement

Robredo sampaikan rasa putus asa rakyat Filipina menerusi mesej video

 Gambar serahan Pejabat Naib Presiden yang dirakam semalam menunjukkan Robredo teruja menerima cenderamata semasa forum sekolah kendalian Katolik di Manila. — Gambar AFP
LANTANG: Gambar serahan Pejabat Naib Presiden yang dirakam semalam menunjukkan Robredo teruja menerima cenderamata semasa forum sekolah kendalian Katolik di Manila. — Gambar AFP

MANILA: Naib Presiden Filipina Leni Robredo semalam berkata perang dadah di negara itu telah membuat rakyat Filipina rasa putus asa dan tidak berdaya, dengan  kepercayaan kepada polis dihakiskan oleh ribuan pembunuhan ala hukuman tanpa perbicaraan.

Dalam mesej video kepada mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pembunuhan di luar bidang kehakiman yang disiarkan dalam talian, Robredo juga menuntut penelitian antarabangsa terhadap operasi pembanterasan Presiden Rodrigo Duterte yang kontroversi.

Sebahagian daripada mereka yang telah memberitahu kami bahawa apabila jenayah berlaku, mereka biasanya pergi kepada polis. Sekarang, mereka tidak tahu kepada siapa mereka perlu pergi,” kata Robredo dalam mesej tersebut, yang dikeluarkan kepada media sebelum ia ditayangkan di mesyuarat PBB di Austria pada hari ini (Khamis).

Rakyat kami rasa putus asa dan tidak berdaya: keadaan fikiran yang semua kita mesti pandang serius.”

Duterte memenangi pilihan raya presiden pada tahun lepas setelah beliau berjanji untuk membasmi dadah dalam masyarakat dengan operasi luar biasa di mana puluhan ribu orang akan mati.

Namun naib presiden dipilih secara berasingan di Filipina, dan Robredo adalah anggota sebuah parti politik lawan.

Sejak Duterte memegang kuasa pada hujung Jun lalu, polis melaporkan membunuh 2,500 orang dalam operasi antidadah manakala kira-kira 4,500 lagi sudah mati dalam keadaan yang tidak dijelaskan.

Amnesty International dan Human Rights Watch memberi amaran bahawa Duterte mungkin sedang menyelia jenayah kemanusiaan, dengan pembunuhan yang diluluskan oleh kerajaan.

Duterte dan ketua-ketua polisnya menegaskan pasukan keselamatan tidak melanggar sebarang undang-undang.

Mereka berkata hampir kesemua orang yang dibunuh oleh polis berlaku ketika polis mempertahankan diri manakala kematian yang tidak dapat dijelaskan itu kemungkinan disebabkan oleh geng-geng dadah yang memusnahkan musuh atau lain-lain yang dapat membabitkan mereka.

Dalam mesej beliau kepada PBB, Robredo menggambarkan semua kematian tersebut sebagai pembunuhan hukuman tanpa perbicaraan.

Kita sekarang sedang melihat beberapa statistik yang sangat suram: sejak Julai tahun lepas, lebih 7,000 orang sudah dibunuh dalam pembunuhan hukuman tanpa perbicaraan,” kata Robredo.

Robredo juga berkata polis menahan orang tidak bersalah dalam skim dikenali sebagai “kepala pertukaran”.

Dalam skim ini, jika anggota polis tidak dapat menemui suspek dadah, mereka dapat menahan salah seorang daripada anggota keluarganya, menurut Robredo.

Duterte memecat Robredo dari kabinetnya pada Disember lalu selepas beliau mula bersuara menentang perang dadahnya dan beberapa dasarnya yang lain.

Kenyataannya kepada mesyuarat PBB itu antara kritikannya yang paling keras terhadap Duterte. — AFP

Advertisement